PENYAKIT autisme atau autistik tidak seperti mereka yang menghidap sindrom Down. Ini kerana, kanak-kanak yang menghidap autisme nampak seperti kanak-kanak normal namun mempunyai tingkah laku yang berbeza maka kesabaran diperlukan untuk mendidik insan istimewa ini.
Justeru tindakan seorang guru di sebuah sekolah di Kulim, Kedah sanggup berpakaian maskot karektor Disney kegemaran muridnya yang menghidap autisme semata-mata untuk memberi semangat kepadanya mendapat pujian ramai.
Semangat dan sokongan moral yang ditonjolkan oleh guru lelaki itu sememangnya harus dipuji kerana sanggup berpanas dalam satu aktiviti larian yang dianjurkan oleh sekolah tersebut.
Sekeping foto yang dimuat naik di laman Daily Traffic menunjukkan guru lelaki itu mengenakan kostum Lilo and Stitch sambil berjalan bersama-sama pelajar autisme tersebut.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada guru berkenaan.
Itulah pengorbanan yang dilakukan seorang guru selain memastikan muridnya tidak tercicir daripada pelajaran iaitu mengelakkan dia berasa terasing dalam kalangan murid lain. – MYNEWSHUB.CC

