KUALA LUMPUR – Sikap tegas, adil dan tidak berkompromi dengan masa adalah antara sifat dimiliki Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang yang dikagumi semua orang terutama anggota Dewan Negara yang menganggap beliau sebagai ‘bapa’.
Senator Datuk Mohd Suhaimi Abdullah berkata pengalaman bekerja dengan Abu Zahar, 72, banyak mengajarnya untuk lebih berani dan bersedia menyampaikan perbahasan tanpa menggunakan teks dan menepati masa.
“Beliau mengingatkan saya kepada ayah saya. Seperkara yang saya pelajari daripada Tan Sri adalah beliau tidak boleh berkompromi dengan soal masa. Jika lewat lima minit, Tan Sri dah tarik muka, jadi kami tidak akan bagi Tan Sri menunggu.
“Bukan takut tetapi kami sangat hormat dengan pendiriannya,” katanya ketika menyampaikan ucapan penghargaan sempena hari terakhir Abu Zahar sebagai Yang Dipertua Dewan Negara di persidangan Dewan Negara di sini hari ini.
Mohd Suhaimi berkata sifat Abu Zahar yang menghargai dan menepati masa wajar dijadikan contoh terutama dalam kalangan anak muda masa kini.
Katanya ia merupakan ciri utama yang perlu diikuti semua orang terutama golongan muda jika mahu berjaya dalam hidup.
Sementara itu, beberapa anggota Dewan Negara ketika ditemui Bernama di lobi Parlimen merakamkan penghargaan kepada Abu Zahar yang memberikan banyak tunjuk ajar kepada mereka sepanjang enam tahun tempoh perkhidmatannya sejak 2010.
Senator Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman berkata sifat peribadi Abu Zahar sering dihormati dan disegani semua pihak termasuk pemimpin negara asing apabila Abu Zahar mengadakan kunjungan hormat ke luar negara.
“Kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas tunjuk ajar yang dicurahkan Abu Zahar kepada semua anggota Dewan Negara,” katanya.
Senator Datuk Jaspal Singh Gurbakhes Singh berkata Abu Zahar telah menjalankan tugas yang diamanahkan dengan penuh tanggungjawab tanpa sebarang kecacatan.
“Tan Sri (Abu Zahar) menjadi kekuatan Dewan Negara dan membimbing kami serta menjalankan tugas beliau dengan sempurna. Saya ucapkan terima kasih kepada beliau,” katanya.
Wakil senator pembangkang, Siti Aishah Shaik Ismail turut memuji sifat Abu Zahar yang sentiasa adil dan telus dalam mengendalikan sesi Dewan Negara.
“Walaupun kami berbeza fahaman politik, rasa hormat saya kepada Tan Sri (Abu Zahar) sentiasa ada kerana sifat beliau yang begitu profesional, adil dan tidak berat sebelah,” katanya.
Siti Aishah juga berharap Yang Dipertua Dewan Negara yang baharu dapat mencontohi Abu Zahar dengan memberi ruang yang mencukupi bagi Senator pembangkang untuk menyuarakan pendapat di Dewan Negara.
Abu Zahar, mantan Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-16 pada 26 April 2010 bagi menggantikan Datuk Wong Foon Meng yang tamat perkhidmatan pada 12 April 2010.
Beliau memulakan kariernya pada 1964 sebagai Inspektor Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan jawatan terakhir sebagai timbalan penguasa polis di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman pada 1979.
Pada 1991, beliau mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Pilah sebelum dipilih sebagai Anggota Parlimen Kuala Pilah selama satu penggal bermula 1995 hingga 1999.
Selepas sidang Dewan Negara, Majlis Senator mengadakan majlis ‘Hi-Tea’ bagi meraikan Abu Zahar di kawasan Parlimen di sini. – BERNAMA