SEORANG kanak-kanak berusia tiga tahun mati selepas rebah semasa berkunjung ke sebuah taman tema bersama-sama ahli keluarganya.
Kanak-kanak lelaki itu jatuh sakit secara tiba-tiba semasa berada di Wheelgate Park di Farnsfield, Nottinghamshire, England, pada Isnin lalu.
Budak lelaki itu sedang bermain-main di kawasan keriangan keluarga seluas 40 ekar itu apabila pihak polis dan paramedik dimaklumkan.
Dia kemudiannya diterbangkan ke sebuah hospital di bandar Nottingham, namun doktor gagal menyelamatkannya.

Siasatan akan dilakukan untuk mengenalpasti punca kematian, namun kes itu tidak akan diklasifikasikan sebagai mencurigakan.
Selain itu, tidak terdapat bukti yang menyatakan bahawa kematian itu berhubung kait dengan taman tema tersebut, yang tutup selama satu hari semalam sebagai tanda penghormatan kepada kanak-kanak itu.
MENARIK: Lagi Maut Tercampak Dari Kerusi Permainan Di Taman Tema
Sementara itu, ibubapa lain yang pernah mengunjungi taman tema itu bersama-sama anak-anak mereka turut berkongsi perasaan terkejut dan sedih mereka di laman Facebook.
Dalam satu kenyataan rasmi, para pemilik Wheelgate menzahirkan perasaan sedih dan simpati mereka terhadap kejadian itu.
Ini bukanlah kali pertama kes kematian berlaku di taman tema tersebut.
Pada tahun 2004, seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun, Megan Wilcox, tersungkur selepas terlanggar alas lantai dan mati oleh kerana kecederaan yang dialaminya. - MYNEWSHUB.CC