TIDAK dinafikan, rokok elektronik atau vape merupakan salah satu peranti yang efektif untuk mengawal tabiat merokok.
Terdapat sekitar 2.6 juta pengamal vape di United Kingdom sahaja. Namun, dalam setiap pembaharuan teknologi yang diperkenalkan pasti didatangkan dengan beberapa masalah yang mungkin tidak diketahui penggunanya.
Perokok lazimnya akan menghembuskan asap melalui rogga hidung kerana bagi sesetengah daripada mereka, intensiti cecair perasa vape mereka akan lebih kuat jika berbuat begitu.
Namun, apa yang mereka tidak tahu adalah menghembuskan wap air melalui hidung sebenarnya akan mengakibatkan kerosakan di dalam rongga anggota tubuh tersebut.
Ramai pengamal vape yang mengadu rokok elektronik telah menyebabkan kulit hidung mereka sangat kering sehingga berlakunya pendarahan hidung secara tiba-tiba.
Hal ini berlaku kerana bahan kimia propylene glycol (PG), satu bahan kimia yang memberi efek pengeringan terhadap kelembapan kulit hidung yang sensitif.
Bagaimanapun, oleh kerana rokok elektronik ini baru sahaja di dalam pasaran, maka kesan jangka panjangnya masih belum dapat dipastikan.
Menurut Prof. Nirmal Kumar, konsultan otolaryngologi dan setiausaha kehormat kesatuan pakar ENT (Mata, Hidung dan Tekak) UK: “Risiko vape masih belum difahami sepenuhnya, tetapi terdapat bukti-bukti yang semakin banyak dikumpulkan bagi mengukuhkan teori bahaya bahan ini.
“Terdapat banyak bahan kimia yang boleh membahayakan hidung. Namun, masih terlalu awal untuk menentukan sama ada vape boleh mengakibatkan kerosakan jangka panjang.”
Bagaimanapun, masalah ini bukanlah sesuatu yang boleh diselesaikan dalam tempoh beberapa minggu.
Prof. John Britton, profesor epidemologi dan pengarah Pusat Pengajian Berkaita Tembakau dan Alkohol UK, menawarkan beberapa nasihat yang mudah diikuti:
* Hembus wap melalui mulut, kerana propylene glycol (PG) memang boleh menyebabkan kekeringan di samping radang rongga udara.
* Berehat daripada menghisap vape untuk tempoh beberapa minggu kerana kimia PG juga boleh mengeringkan tekak.
* Sapukan sedikit gel petroleum seperti Vaseline ke dalam lapisan dalam hidung, untuk meredakan kekeringan dan menambahkan kelembapan.
* Jika masalah masih berlanjutan, dapatkan khidmat pakar ENT.
Walaupun risiko masa panjang vape masih belum dibuktikan, menurut timbalan presiden Fakulti Kesihatan Masyarakat di UK, Prof. Simon Capewell, vape merupakan ‘cara kedua terbaik’ untuk berhenti merokok.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan bahawa walaupun vape selamat digunakan, tidak semestinya ia tiada risiko. - MYNEWSHUB.CC
Teks: Sara Khalid

