GEORGE TOWN: Cadangan untuk mendapatkan hakmilik tanah seluas 323 hektar bagi projek perluasan industri dianggap tepat pada masanya oleh kerana keluasan tanah yang semakin terhad di Pulau Pinang.
Menurut Pengerusi Frepenca, Datuk Heng Huck Lee, Pulau Pinang kini berada di posisi yang amat baik untuk menarik pelabur asing daripada sektor aeroangkasa kerana pulau tersebut mampu menampung ekosistem bekalan dan rantaian elektronik serta elektrikal di sekitarnya.
Kata Huck Lee lagi, industri aeroangkasa diramalkan bakal berkembang pesat di Asia Pasifik dalam tempoh 5 ke 10 tahun akan datang.
Satu lagi sektor yang semakin berkembang maju di Asia Pasifik adalah industri alatan perubatan.
Pulau Pinang merupakan salah sebuah destinasi yang telah menarik minat pelabur asing untuk meluaskan aktiviti industri pembuatan alatan perubatan di Asia kerana sudah terdapat beberapa syarikat yang mengusahakan sektor tersebut di pulau itu, tambah Huck Lee lagi.
“Kami memerlukan sebuah institusi kewangan tanah untuk menarik pelaburan-pelaburan ini. Jika tidak, semuanya akan terlambat apabila pelabur telah tiba di sini dengan kertas cadangan mereka,” kata Huck Lee.
Menurutnya lagi, para pelabur ini lebih cenderung untuk membuka kilang mereka di pulau berbanding di tanah besar.
“Jika mereka tidak dapat melabur di bahagian pulau, minat mereka akan serta-merta terbantut dan mereka akan cari kawasan lain untuk membuat pelaburan tersebut.
“Sudah beberapa kali kes seperti ini berlaku, oleh kerana keluasan Pulau Pinang yang semakin lama semakin mengecil,” terang Huck Lee lagi.-MYNEWSHUB.CC

