IPOH – Seramai 134,000 orang mengunjungi Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2016 di Stadium Tun Ahmad Sarji dekat Tapah sejak Rabu lalu hingga semalam.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata bilangan pengunjung yang hadir pada program itu menghampiri sasaran PNB iaitu 150,000 orang.
“Sambutannya sangat menggalakkan sejak hari pertama hingga hari keenam semalam dengan jumlah pengunjung sehari bertambah kepada kira-kira 26,000 orang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan MSAM 2016 di sini malam tadi yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Hamad Kama Piah berkata MSAM 2016 yang bermula 20 April, bukan sahaja dikunjungi masyarakat di Tapah, malah dari Bidor, Kampar dan Sungkai yang tidak mahu ketinggalan untuk menyaksi pameran mengenai pelaburan sebelum ia berakhir Khamis ini.
Pada majlis itu, Hamad Kama Piah turut menyampaikan Anugerah Khas Juri kepada Zambry atas keprihatinan dan kerjasama yang diberikan oleh beliau terhadap program tersebut.
Karnival MSAM 2016 dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu lalu sementara majlis penutup dijangka dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi esok.
MSAM 2016 yang berlangsung selama sembilan hari dibuka kepada orang ramai mulai 10 pagi hingga 10 malam kecuali Khamis ini yang tamat pada 2 petang. – BERNAMA