KUALA LUMPUR – Keputusan berhubung tempoh moratorium ke atas semua aktiviti bauksit di Pahang akan dibuat sebelum 15 April ini, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Beliau berkata kementerian itu sedang mengawasi dengan teliti pihak industri yang terlibat sebelum sebarang keputusan dibuat berhubung perkara itu.
“Kita telah menetapkan beberapa syarat dan pihak industri perlu patuhi dan kita juga telah tetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) di beberapa tempat termasuk pelabuhan, pengangkutan dan di tempat perlombongan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.
Beliau mengulas mengenai penyerahan memorandum oleh dua pertubuhan bukan kerajaan iaitu Pejalan-Pejalan Kaki #Red2Green dan Gabungan Badan Bertindak Menentang Pencemaran Bauksit kepada wakil Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar di sini, hari ini, bagi menuntut tempoh moratorium perlombongan bauksit dilanjutkan.
Wan Junaidi menegaskan jika kementeriannya mendapati terdapat pihak industri yang tidak memenuhi syarat dan SOP yang ditetapkan, beliau akan membincangkan perkara itu pada Mesyuarat Jemaah Menteri untuk membuat keputusan.
Kerajaan sebelum ini mengenakan moratorium ke atas semua aktiviti perlombongan bauksit di Pahang selama tiga bulan bermula 15 Jan lepas dengan menggariskan beberapa langkah perlu diambil oleh pihak industri bagi menyelesaikan masalah pencemaran akibat aktiviti berkenaan.
Wan Junaidi berkata beliau akan mempertimbang dan meneliti memorandum yang diterima hari ini. – BERNAMA

