Kaya tapi kedekut, umpama ahli sihir. Ia adalah gelaran yang diberikan oleh abang penyanyi Mariah Carey kepada adiknya itu.
Morgan Carey, 51, menggelar diva berkenaan dengan gelaran itu kerana dia enggan membayar rawatan kakak mereka, Alison yang sedang uzur.
“Dia mungkin membelanjakan wang lebih banyak untuk makanan anjingnya berbanding rawatan untuk kakaknya sendiri,’’ kata Morgan yang mendedahkan bahawa dia sudah tidak bertegur sapa dengan Mariah sejak hampir tiga tahun lalu.
Morgan juga hanya mengetahui mengenai pertunangan Mariah dengan jutawan Australia, James Packer melalui media sosial.
“Saya pernah memberitahu Mariah bahawa isteri saya keguguran melalui emel dan dia tidak pernah membalasnya,’’ katanya.
Alison, 54, kini menunggu untuk menjalani pembedahan otak dan tulang belakang. Dia merayu kepada adik beradiknya untuk bantuan.
“Kakak kau sedang menanti maut dan dia sedang bergelut untuk hidup. Di mana kau? Kau ingat kau hebat, tetapi kau adalah ahli sihir,’’ kata Morgan sambil membidas Mariah.
Sejak Alison yang juga penghidap HIV positif jatuh sakit, tahun lepas dan ketika kesihatannya semakin susut, Mariah tidak pernah datang menjenguk.
.Menurut Morgan, ketika mesin sokongan hayat Alison dicabut sebelum ini, dia terpaksa terbang ke Hawai kerana menyangka kakaknya itu akan meninggal dunia.
Malangnya, Mariah langsung tidak muncul di hospital.
“Alison cuba menghubungi Mariah berulang kali tetapi kami tidak pernah berjaya,’’ katanya.