KEINGINANNYA untuk mendalami keunikan bahasa Melayu mendorang lelaki kelahiran Tanzania, Abdalla Hassan Gharib, 36; mengikuti kelas pengajian bahasa Melayu sewaktu menuntut di Malaysia dua tahun lalu.
Bertitik tolak dari situ, penuntut Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu memberitahu Mynewshub bahawa tidak sangka mula cinta keindahan bahasa Melayu setelah fasih bertutur dengan rakan-rakan di universiti.
Abdalla menceritakan pengalamannya itu setelah dinobatkan sebagai juara kategori pelajar antarabangsa di Malaysia pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2016 di Putrajaya.

“Saya masih ingat lagi pada 2014, mula-mula mempelajari bahasa Melayu di universiti, saya pada mulanya agak kekok dan berasa malu hendak bercakap ditambah pula dengan kesibukan masa di universiti.
“Namun, saya seperti sudah jatuh hati dan tertarik dengan keindahan bahasa Melayu setelah bertutur sendiri dengan rakan-rakan tempatan di UNIMAS kerana ia sebenarnya lebih mudah untuk difahami.”
Menurut Abdalla, bagi memantapkan lagi pertuturannya itu, dia memberitahu harus membuang sifat malu dan yakin sewaktu berinteraksi walaupun mungkin pada mulanya banyak kesilapan ketika berkomunikasi.
“Kita kena berkongsi dan sentiasa berinteraksi dengan orang tempatan, ditambah pula orang di Malaysia begitu peramah apabila saya tersalah cakap, mereka (masyarakat) akan cuba membetul dan memberitahu saya.
“Sebab itu saya tak kisah saya tercakap salah atau tidak sesuai sebab saya tahu masyarakat Malaysia amat prihatin, mereka selalu sudi membantu, saya amat bersyukur dengan keramahan masyarakat di sini.”
Peserta dari tanah air, Muhammad Haziq Jamaludin, 23; memberitahu dia sejak dari bangku sekolah lagi sudah begitu meminati kesenian yang terdapat dalam bahasa Melayu.

“Sejak di bangku sekolah lagi, kira-kira dalam 5 tahun jugalah saya mula bergiat aktif menyertai pelbagai acara dan pertanding seperti debat, pidato, pantun, dan tidak sangka, saya boleh mencapai sehingga ke tahap ini.
“Saya sangat bersyukur ke hadrat Ilahi kerana ini merupakan impian dan cita-cita saya sendiri akhirnya untuk memasuki ke pertandingan PABM yang begitu berprestij ini.”
Dia yang juga merupakan penuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata akan mengembangkan lagi bakat serta ilmu yang diperolehnya dengan membantu generasi-generasi akan datang.
“Saya akan bantu generasi akan datang, lebih-lebih lagi buat pelajar UiTM yang akan menyertai pertandingan PABM ini pada tahun hadapan,” katanya sewaktu ditemui Mynewshub.
Haziq yang mengangkat tema pidatonya iaitu ‘Rahsia Keamanan’ berjaya memukau juri sehingga dinobatkan juara buat kategori Alam Melayu.
Manakala, peserta Amerika Syarikat, Megan Rose Donelly, 27; yang meraih tempat ketiga dalam kategori Antarabangsa mengatakan dia amat berminat untuk mendalami masyarakat Asia Tenggara.
Ini sekali gus turut mendorongnya untuk mempelajari bahasa Melayu sejak 2009 ditambah pula kenalan-kenalan yang berada di Amerika Syarikat juga terdiri daripada kawan-kawan dari rantau Asia tenggara.

“Sejak dari 2009 lagi, saya mula mempelajari bahasa Melayu, maka saya sering bertutur dengan mereka sehingga menyebabkan saya begitu tertarik dengan bahasa Melayu.”
Ditanya mengenai perancangan pada masa akan datang, gadis tinggi rampai itu memberitahu dia akan menyambung pelajarannya di London dan jika berpeluang, dia ingin lagi kembali untuk PABM 2017.
“Saya akan hijrah ke Britain untuk menyambung peringkat PhD, dan jika ada kelapangan serta peluang, saya semestinya mahu mengambil bahagian untuk cuba dengan lebih baik pada tahun hadapan,” kata Megan.

Manakala, juara kategori Antarabangsa, Hatsune Yanai, 21; dari Jepun menyatakan dia mula berminat mendalami bahasa Malayu setelah mendengar deklamasi merdu bacaaan sajak dan syair.
Ia seterusnya membuatkan dirinya seolah-olah ‘jatuh cinta pandang pertama’ kepada bahasa Melayu.
Hatsune turut memberi semangat kepada generasi pelapis dengan mengingatkan agar menanam semangat cintakan bahasa Melayu kerana menurutnya, jika ada keinginan serta usaha, tidak mustahil untuk berjaya.
“Kepada adik-adik sama ada di Jepun mahupun di mana-mana negara, yang hendak belajar bahasa Melayu, jangan segan dan teruskan berlatih.
“Jika dah fasih serta lancar nanti, anda boleh sertai PABM macam saya,” ujarnya sambil memberikan senyuman. – MYNEWSHUB.CC