KUALA NERUS – Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) mengurangkan peruntukan pembiayaan usahawan tahun ini kepada RM200 juta berbanding RM250 juta pada tahun lepas.
Timbalan Pengurus Besar PUNB Aminuddin Amenon berkata langkah itu diambil PUNB berikutan keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu.
“Untuk tahun ini kita menyasarkan 500 usahawan baharu,” katanya kepada pemberita pada majlis perjumpaan bersama usahawan PUNB Terengganu, di sini hari ini.
Beliau berkata PUNB juga bekerjasama dengan agensi lain dalam usaha mengeluarkan usahawan berjaya.
Katanya ketika ini terdapat kira-kira 8,600 usahawan PUNB di seluruh negara melibatkan 600 syarikat.
Aminuddin berkata walaupun PUNB mempunyai skim teras yang menumpukan kepada sektor automotif, pendidikan awal kanak-kanak dan bidang profesional seperti doktor perubatan yang ingin membuka klinik sendiri, usahawan dalam bidang lain turut digalak memohon bantuan PUNB.
Pada majlis itu, PUNB turut menyampaikan pembiayaan kepada lapan usahawan dengan masing-masing menerima antara RM30,000 dan RM500,000, melibatkan jumlah keseluruhan RM1.770 juta. – BERNAMA

