MELAKA – Keupayaan dan keberkesanan institusi kehakiman Mahkamah Syariah termasuk akta dan mahkamah perlu dipertingkat bagi membolehkan institusi itu memberi keadilan sewajarnya kepada umat Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Beliau berkata Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 perlu diperkemas bagi memastikan ia memberi pengadilan lebih berkesan terhadap kes-kes syariah di negara ini.
“Kita ingin melihat peningkatan terhadap Akta 355 supaya ia lebih tersusun dan menepati sebagaimana dikehendaki hukum Syariah itu sendiri.
“Harapan kita usaha bersungguh semua pihak samada Mahkamah Syariah, JKSM (Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia), agensi negeri serta persekutuan termasuk sokongan Pejabat Peguam Negara untuk merealisasikan hasrat ini,” katanya di Ayer Keroh di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Melaka oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob.
Turut hadir isteri Yang Dipertua Negeri Melaka Toh Puan Zurina Kassim, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM Tan Sri Dr Ibrahim Lembut.
Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Melaka, yang bernilai RM34.25 juta, mula beroperasi pada 1 Feb 2013.
Jamil Khir berkata selain akta itu, keupayaan tiga peringkat Mahkamah Syariah iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah perlu dipertingkat serta beroperasi dengan lebih efisien.
“Kita ingin melihat kes di mahkamah ini berkurangan dan kes yang dibawa cepat diselesaikan dengan sebaik mungkin supaya kita dapat memberi keadilan terbaik, kerana keadilan yang dilewatkan adalah keadilan yang dinafikan.
“Ini bagi memastikan Mahkamah Syariah sentiasa dihormati bukan sahaja di Malaysia malah di persada dunia,” katanya. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]6Ji8p4mPCTA[/wpdevart_youtube]