JASIN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Melaka merampas 236 tong gas petroleum cecair (LPG) bernilai RM22,000 kerana dipercayai dijual tanpa lesen atau permit sah di sebuah rumah di Taman Merbau Jaya di sini, petang tadi.
Timbalan Ketua Penguatkuasa KPDNKK Melaka Rosley Abdullah berkata rampasan pada 2.30 petang itu melibatkan 167 tong gas LPG kosong serta 67 tong berisi gas LPG dalam Operasi Gasak, yang turut melibatkan rampasan sebuah lori bernilai RM20,000 dipercayai digunakan untuk mengangkut tong tersebut.
“Ketika operasi, sebanyak 24 tong gas ditemui di bahagian belakang rumah tersebut dan selebihnya di dalam dua lori yang diletakkan di bahagian hadapan rumah berkenaan.
“Risikan dilakukan selama empat hari dan operasi ini disertai enam pegawai penguatkuasa. Pengintipan bermula dari Taman Maju di Jasin kira-kira 1 petang tadi sehingga ke lokasi kejadian yang dipercayai menjadi tempat penyimpanan tong LPG sebelum ia dijual,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]ySdqFto0bg4[/wpdevart_youtube]