HULU TERENGGANU – Kejadian gempa bumi lemah di Tasik Kenyir di sini malam Selasa lepas, tidak menjejaskan aktiviti pelancongan di tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu.
Tinjauan Bernama di sekitar kawasan Pengkalan Gawi mendapati aktiviti pelancongan dan perniagaan berjalan seperti biasa, malah pelancong tetap datang melawat ke pulau-pulau sekitar tasik berkenaan.
Pengerusi Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir, Mohamad Raffee Abdul Wahab berkata pihaknya bersyukur kerana kejadian itu tidak menjejaskan kegiatan pelancongan yang menjadi sumber pendapatan penduduk setempat.
“Alhamdulillah, aktiviti membawa pelancong melibatkan kesemua 27 bot laju dan lebih 40 rumah bot di bawah persatuan ini masih berjalan seperti biasa sejak semalam dan memang tidak ada yang terjejas.
“Esok (Jumaat) pada kebiasaannya, ramai pengunjung datang ke sini untuk bercuti, dan pelancong yang membuat tempahan rumah bot biasanya akan bermalam di Tasik Kenyir dua atau tiga malam,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Mohamad Raffee berkata orang ramai tidak perlu bimbang untuk datang melancong di tasik berkenaan kerana kejadian gempa bumi itu disahkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia tidak akan berulang dalam tempoh terdekat.
“Memang pernah berlaku sebelum ini, dan kalau dilihat tempoh gempa yang berlaku memakan masa agak lama, lebih dari 10 tahun,” katanya.
Seorang pengusaha rumah bot, Al Malik Fazli Musa, 42, berkata tempahan rumah botnya tidak terjejas dan perkhidmatan itu berjalan seperti biasa.
“Ada pelancong yang dah tempah rumah bot saya dan mereka akan bermalam di sini bermula esok hingga Ahad…tiada apa yang nak dirisaukan sebab kejadian gempa bumi ini pernah berlaku di sini tetapi hanya gegaran kecil.
“Orang ramai tidak perlu risau nak datang ke sini dan jangan terlalu percaya khabar angin atau perkara diviralkan di media sosial…kami tinggal di sini, kami tahu keadaan di sini dan memang selamat,” katanya.
Seorang pembantu kedai makan, Nur Habibah Abdul Halim, 21, pula berkata kedainya tetap beroperasi seperti biasa dan dibuka sejak pagi hingga malam di kawasan berkenaan.
“Semalam, kedai dibuka seperti biasa meskipun tidak ramai pengunjung sebab hari bekerja, dan hari ini nampaknya dah ramai yang datang sebab esok hari cuti mingguan bagi negeri di Pantai Timur (Terengganu dan Kelantan).
“Memang menjadi kebiasaan, hari bekerja pelancong agak kurang dan mereka mula masuk ke Tasik Kenyir pada hari cuti mingguan dan cuti am…kejadian gempa ini tidak menjejaskan apa-apa di sini dan semua peniaga kedai makan dan kedai runcit dibuka seperti biasa,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Dura, Kamarudin Mat Jusoh, bagaimanapun berkata kejadian itu sedikit sebanyak menimbulkan trauma kepada segelintir penduduk kampung yang tidak pernah merasai gegaran tersebut sebelum ini.
“Memang ada penduduk yang takut, tetapi bila Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan kejadian ini tidak akan berlaku dalam masa terdekat, kami rasa lega dan kegiatan orang kampung berjalan seperti hari-hari biasa.
“Kami harap kerajaan dapat menyediakan siren atau alat pengesan gempa bumi supaya penduduk tidak panik jika berlaku lagi kejadian seumpama ini,” katanya.
Jabatan Meteorologi Malaysia menerusi laman webnya pada Selasa, melaporkan kejadian gempa bumi lemah berukuran 2.7 pada skala Richter berlaku di Tasik Kenyir pada 9.25 malam.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd Jidin Shafie berkata aktiviti pelancongan di Tasik Kenyir tidak terjejas dengan kejadian gempa bumi itu dan kehadiran pelancong berjalan lancar.
“Hasil maklumat dari jabatan dan agensi yang berkaitan mendapati aktiviti pelancongan di Tasik Kenyir masih selamat dibuka untuk pelancong.
“Pengusaha pelancongan juga meneruskan pakej-pakej percutian seperti biasa, dan kita akan terus memantau sebarang perkembangan di tasik itu. Setakat ini, gempa itu tidak meninggalkan sebarang kesan negatif kepada sektor pelancongan di Terengganu,” katanya ketika dihubungi Bernama. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]EMj4UDCpc9M[/wpdevart_youtube]