TAHNIAH Mynewshub ucapkan kepada pelakon dan pelawak, Angah Raja Lawak atau nama sebenarnya Iskandar Shah Hashim telah selamat menjadi suami kepada Amira Asyura Abd Razak, 20; dengan sekali lafaz sahaja.
Acara yang berlangsung di kediaman pengantin perempuan di Melaka Perdana Homes Resort kira-kira pukul 10.10 pagi Jumaat, sekali gus menamatkan zaman dudanya.
Angah yang tampil segak berkurta warna kelabu gelap dinikahkan dengan berwalikan jurunikah, Mohammad Suhaimi Kassim dengan mas kahwin berjumlah RM15,000 berserta sebutir loket berlian dan seutas rantai emas.
Sejurus selesai dinikahkan, Angah kemudiannya mendirikan solat solat sunat syukur di hadapan pelamin yang dihiasi ros putih serta di kiri dan kanan pelamin tersusun indah hantaran dari kedua-dua belah pihak.
Angah yang berusia 38 tahun meletakkan lima dulang hantaran berbalas tujuh dulang dari pihak perempuan.
Antara barangan hantaran lelaki untuk perempuan termasuk telekung, kasut, minyak wangi jenama Gucci, Kek, beg tangan jenama Versace.
Manakala hantaran perempuan untuk lelaki antaranya kasut jenama Versace, kek, jam tangan dan lain-lain.
Majlis resepsi kedua-dua mempelai akan diadakan di Dewan Tun Ali, Melaka pada keesokannya. -MYNEWSHUB.CC
[youtube https://www.youtube.com/watch?v=qPkKDXZ6eqM]





