CEMERLANG dengan wataknya sebagai pengulas sukan bernama Rahman dalam filem Ola Bola, aktor berkaliber, Bront Palarae sekali lagi bakal menjayakan peranan yang mungkin akan menjadi ingatan ramai selepas ini.

Bakal melakonkan watak orang sebenar, sebagai tokoh korporat, Tan Sri Khalid Ibrahim yang berjaya ‘rampas’ kembali firma perladangan terbesar daripada British di Bursa London pada 1981 dalam hanya tempoh dua jam.
Filem berunsur sejarah kebangsaan berjudul Dawn Raid: The Hands That Rattled The Queen nanti turut dibintangi ramai pelakon tanah air antaranya Redza Minhat dan Chew Kin Wah.
Ia berlatarbelakangkan tahun 1981 apabila pemilik ladang Guthrie Group asalnya sebuah syarikat perdagangan British yang telah berjaya dikuasai semula oleh kerajaan Malaysia menerusi satu ‘serbuan’ secara mengejut.
Operasi khas tersebut yang dikenali sebagai Dawn Raid (serangan waktu Subuh) terhadap London Stock Exchange itu diketuai Khalid sekali gus mengejutkan masyarakat antarabangsa terhadap kemampuan kerajaan Malaysia.
Bagi menjayakan watak Khalid yang kini ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan ADUN Pelabuhan Klang itu, Bront baru-baru ini telah menemubual serta mendekati sendiri tokoh perniagaan tersebut secara peribadi.
Memetik portal Says.com, dalam temuramah eksklusif itu, Khalid telah menceritakan bagaimana beliau bersama-sama dengan rakan-rakannya yang lain berjaya merampas kembali hak rakyat Malaysia daripada British.
Kata beliau, tokoh korporat British yang menguasai Guthrie ketika itu berjaya ditewaskan dalam masa dua jam sahaja menerusi satu ‘serangan’ terancang yang kemudian ‘serangan’ itu dititipkan dalam sejarah korporat global.
Berjayakah Bront membawa watak Tan Sri Khalid dengan baik?
Sama-sama kita nantikan, tetapi menerusi pengalaman dan bakatnya dalam bidang ini, kami yakin Bront bakal memberikan aksi yang cemerlang dalam naskhah itu nanti! – MYNEWSHUB.CC



