KUALA TERENGGANU – Satu lagi kematian akibat denggi dilaporkan di negeri ini, korban kelapan bagi tempoh 1 Jan hingga semalam, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Datuk Muhammad Pehimi Yusof.
Beliau berkata korban terbaru itu membabitkan seorang lelaki berumur 57 tahun di Rusila, Marang yang meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada 8.10 pagi semalam.
“Saya difahamkan mangsa berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan dan tinggal sementara di Rusila atas urusan kerja.
“Mangsa mengadu demam sehari sebelum masuk ke hospital (pada Jumaat malam)dan datang dalam keadaan yang sangat lemah, sesak nafas dan tanda-tanda perdarahan pada gusi dan paru-paru,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Bagi tempoh Januari sehingga semalam sebanyak 800 kes demam denggi dilaporkan di Terengganu iaitu peningkatan 265.3 peratus berbanding 219 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Muhammad Pehimi berkata Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu juga mengesan sebanyak 38 lokaliti wabak denggi aktif di seluruh negeri setakat semalam.
Daripada jumlah itu, katanya Kuala Terengganu mencatat jumlah lokaliti wabak tertinggi iaitu 27 kawasan diikuti enam di Kuala Nerus, dua di Besut dan masing-masing satu di Dungun, Setiu dan Marang.
Beliau berkata orang ramai kini boleh mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan susulan denggi pada setiap hujung minggu di Klinik 1Malaysia Padang Hiliran dari 10 pagi hingga 10 malam.
“Ini diharap dapat membantu pesakit mendapatkan rawatan susulan yang selesa susulan pertambahan mendadak pesakit yang mendapatkan rawatan berkaitan denggi di HSNZ ketika ini,” katanya. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]AeJpKmMZI0s[/wpdevart_youtube]