NEW DELHI – Seramai 10 pelajar perempuan dan tiga pelajar lelaki dari sebuah kolej tempatan di India mati lemas semasa mereka berkelah dekat pantai Murud, Raigad, di negeri Maharashtra.
Mereka adalah dari kumpulan 155 pelajar Kolej Adeba Idambar dari bandar raya Pune yang berkunjung ke kawasan perkelahan popular tersebut, kira kira 140 kilometer dari selatan Mumbai.
Saluran berita tempatan, NDTV melaporkan bahawa lima daripada pelajar kolej tersebut yang berjaya diselamatkan telah segera dimasukkan ke beberapa buah hospital berhampiran.
Pasukan pencari dan penyelamat tempatan masih berusaha untuk mengesan baki 12 orang pelajar lagi yang dilaporkan hilang ketika program perkelahan anjuran kolej pada 1 Februari diadakan.
Kesemua mangsa itu yang dikenal pasti berusia antara 19 hingga 23 tahun mengikuti pengajian dalam bidang kesusasteraan, sains tulen dan perdagangan di institusi pengajian tinggi berkenaan.
Pantai Murud yang menghadap Laut Arab memang terkenal dalam kalangan penduduk tempatan sebagai kawasan berbahaya dan mencatat banyak kes mati lemas terutama ketika laut bergelora.
Namun, mereka turut mendakwa pihak berkuasa tidak meletakkan cukup petugas penyelamat di pantai selain kebanyakan mangsa merupakan pelancong yang kurang mahir berenang di laut.
Seorang pegawai polis memberitahu saluran berita NDTV bahawa sekumpulan 25 pelajar dilaporkan ditarik oleh ombak kuat secara tiba-tiba semasa berada di tepi pantai. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA