KANGAR – Pusat Pengajian Diploma (PPD) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) ditauliahkan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia sebagai antara Pusat Latihan Dual Nasional (PLDN) di negara ini.
Naib Canselor UniMAP Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata pengiktirafan itu antara pemangkin ke arah melahirkan tenaga kerja mahir selaras dengan seruan kerajaan memperkasa agenda Latihan Teknikal dan Vokasional di Malaysia.
“Memandangkan pendidikan teknik dan vokasional perlu diberi perhatian semua pihak, UniMAP menetapkan strategi melalui PLDN bagi memastikan pembangunan pendidikan negara terus mapan dan berdaya saing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kamarudin berkata pengiktirafan itu membolehkan pelajar menjalani sesi pembelajaran secara teori di UniMAP, dan latihan praktikal di mana-mana bidang industri berdaftar sebagai pusat latihan dengan JPK.
Beliau berkata melalui inisiatif itu, pelajar Diploma Kejuruteraan UniMAP bukan sahaja mendapat diploma, malah memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia setelah tamat pengajian.
“Langkah itu berupaya membantu graduan lebih agresif merebut peluang pekerjaan dalam industri berkenaan di dalam atau luar negara,” katanya.
PPD UniMAP menawarkan enam program pengajian peringkat diploma kejuruteraan iaitu Kejuruteraan Metallurgi, Kejuruteraan Pembuatan dan Kejuruteraan Komputer.
Turut ditawarkan, Kejuruteraan Mekatronik, Kejuruteraan Mikro Elektronik dan program Diploma Kejuruteraan Elektrik, yang diiktiraf dalam bidang pekerjaan berkaitan. – BERNAMA
