KUALA LUMPUR – DAP memberi jaminan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada rakyat akan diteruskan jika Pakatan Harapan memerintah negara ini.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, cukai barang dan perkhidmatan (GST) bagaimanapun akan dihapuskan jika Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
“Pakatan Harapan akan meringankan beban 30 juta rakyat Malaysia dengan memansuhkan GST.
“Rakyat Malaysia masih mampu untuk menerima pembayaran BR1M tanpa GST,” dakwanya menerusi satu perutusan bersempena tahun baru 2016 hari ini.
Guan Eng seterusnya mendakwa, sudah tiba masa untuk rakyat Malaysia menyingkirkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) daripada pentadbiran negara.
Dakwa beliau, tiada taraf untuk rakyat Malaysia membuat dua kerja seperti pekerja asing Bangladesh dan Myanmar.
“Rakyat Malaysia tidak layak jadi hamba ekonomi. BN perlu diganti supaya kita tidak menjadi hamba di negara sendiri,” dakwanya. – mynewshub.cc