PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan membentangkan laporan Indeks Syariah bagi mengukur pelaksanaan agenda Islam dan pengisian memartabatkan Islam di Malaysia pada 28 Mac ini.
Najib berkata Indeks Syariah itu sangat penting dan dekat di hatinya kerana sebagai Perdana Menteri beliau ingin mengetahui komitmen kerajaan terhadap agenda Islam.
Beliau berkata Indeks Syariah yang dilancarkan Februari tahun lalu dapat menentukan sama ada dasar-dasar yang dijalankan kerajaan berdasarkan syariat Islam.
“Kita tidak boleh membuat sesuatu kesimpulan semata-mata dari segi pandangan umum sahaja. Kadang-kadang pandangan kita diwarnai dari sudut pengalaman peribadi kita.
“Mungkin kerana sesuatu itu tidak dilabel Islam ataupun diwarnai pertimbangan politik yang menyebabkan sesuatu kesimpulan tafsiran kita tidak menepati hakikat sebenar,” katanya ketika berucap pada majlis penghargaan penyelidikan Indeks Syariah Malaysia 2015 di sini, hari ini. – BERNAMA