PUTRAJAYA – Malaysia akan menjadi negara pertama yang melaksanakan pengiktirafan dan pemindahan kredit bagi Kursus Dalam Talian Terbuka Secara Besar-besaran (MOOCs) ke arah pendidikan fleksibel, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.
Beliau berkata Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) diberi mandat membangunkan platform MOOCs untuk membolehkan semua kursus MOOCs dari Malaysia dan luar negara didaftarkan dibawah platform itu dan diberikan kredit.
“Pelajar boleh mengikuti pengajian secara fleksibel di beberapa universiti dalam dan luar negara yang didaftarkan dibawah MOOCs dalam talian dan kredit boleh dipindahkan untuk tujuan penganugerahan sijil, diploma dan ijazah,” katanya.
Pada majlis amanat Tahun Baru 2016 kementeriannya di sini hari ini, Idris berkata inisiatif pengkreditan MOOCs akan menjadikan pendidikan Malaysia lebih fleksibel dan terbuka serta mampu menarik lebih ramai pelajar Malaysia dan pelajar dari seluruh dunia.
“Polisi ini akan menjadi polisi utama negara dan bakal menjadi yang pertama di dunia seumpamanya,” katanya.
Beliau berkata platform MOOCs dijangka dibuka untuk pendaftaran kursus pada April ini dan sebarang pendaftaran kursus adalah bergantung kepada kesediaan pensyarah.
Pengiktirafan dan pemindahan kredit MOOCs merupakan usaha Malaysia melaksanakan pendidikan fleksibel yang lebih terancang, menyeluruh dan strategik mulai tahun ini, katanya.
Di bawah pendidikan fleksibel, katanya, MQA memperluaskan pelaksanaan program Akreditasi Pembelajaran Berdasarkan Pengalaman Sebelum (APEL) bagi tujuan penganugerahan kredit yang dikenali sebagai APEL (C) untuk membolehkan pelajar mendapat pemindahan kredit daripada pengalaman kerja.
APEL (C) membolehkan graduan memiliki tempoh pengajian sendiri yang lebih fleksibel, katanya.
Idris berkata Universiti Malaysia Kelantan dan Universiti Putra Malaysia akan menawarkan program belajar sambil bekerja ‘2 Universiti + 2 Industri (2U2i)’ mulai tahun ini.
Beliau berkata program pembelajaran berasaskan kerja itu membolehkan pelajar belajar selama dua tahun di universiti dan dua tahun menimba pengalaman industri.
Idris dalam pada itu berkata pelajar dari negara ASEAN berpeluang untuk mengikuti program pengajian sepenuh masa di tiga buah politeknik premier iaitu di Ipoh, Shah Alam dan Johor Baharu mulai tahun ini.
“Politeknik menyasarkan pengambilan pelajar luar negara sehingga dua peratus enrolmen pelajar menjelang 2020,” katanya.
Sementara itu, Idris berkata Kolej Komuniti akan menerajui projek pembinaan rumah kos rendah menggunakan teknologi komposit dengan kos kira-kira RM20,000.
“Projek perintis sebanyak 50 unit rumah akan dibina di Besut, Terengganu. Tapak sudah dikenal pasti dan kerja asas akan dimulakan dalam tempoh terdekat,” katanya sambil menambah pembinaan menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) dijangka mengambil masa selama dua minggu. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]1FNsY2oLC70[/wpdevart_youtube]