GEORGE TOWN – Kerajaan DAP Pulau Pinang menyambut baik dua permohonan daripada Perbadanan PR1MA Malaysia untuk membangunkan rumah mampu milik di bawah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di negeri ini, kata seorang Exco kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo berkata kerajaan negeri yang telah berusaha secara agresif mengenai perkara itu telah mendapat respons kerajaan pusat untuk membangunkan rumah PR1MA di Pulau Pinang.
Beliau berkata berikutan mesyuarat antara beliau dan para pegawai Perbadanan PR1MA Ogos tahun lalu, negeri ini menerima dua permohonan untuk membina rumah mampu milik.
“Kami menerima permohonan pada Disember tahun lepas untuk dua projek rumah mampu milik di bawah PR1MA di Batu Ferringhi dan Bukit Gelugor dengan sejumlah 2,644 unit,” katanya dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak Hartanah Antarabangsa Pulau Pinang 2016 di sini Jumaat.
Bagaimanapun, beliau berkata kedua-dua projek itu tertakluk kepada semua keperluan teknikal yang perlu dipatuhi dan adalah diharapkan rumah mampu milik itu akan dibina oleh PR1MA di Pulau Pinang.
“Kami masih menunggu pelan cadangan daripada PR1MA bagi kedua-dua projek itu dan ia akan diluluskan jika memenuhi syarat yang ditetapkan bagi rumah mampu milik,” katanya.
PR1MA telah ditubuhkan di bawah Akta PR1MA 2012 untuk merancang, membangun, membina dan mengekalkan perumahan yang berkualiti tinggi dengan konsep gaya hidup untuk isi rumah berpendapatan sederhana di pusat-pusat bandar utama.
Rumah PR1MA disasarkan bagi rakyat Malaysia berpendapatan sederhana dengan purata pendapatan isi rumah RM2,500 hingga RM10,000 sebulan, yang berumur lebih daripada 21 tahun dan tidak memiliki lebih daripada satu hartanah untuk individu atau keluarga.
Sementara itu, Jagdeep berkata, kerajaan Pulau Pinang mempunyai 12 projek rumah mampu milik dalam perancangan yang akan menyaksikan 22,512 unit kos rendah, kos sederhana rendah dan perumahan mampu milik di lima daerah.
Beliau berkata fasa pertama projek Bandar Cassia di Seberang Perai Selatan dengan sejumlah 520 unit rumah mampu milik dijangka siap menjelang akhir tahun ini. – BERNAMA