SEPANG – AirAsia Berhad akan melancarkan tiga laluan antarabangsa baharu dari Kota Kinabalu, Langkawi dan Pulau Pinang pada bulan ini.
Ia bakal memulakan penerbangan langsung dari Kota Kinabalu ke Wuhan pada 22 Januari, Langkawi-Guangzhou (24 Januari) dan Pulau Pinang-Ho Chi Minh (25 Januari), kata Ketua Komersialnya, Spencer Lee.
“Tahun ini merupakan tahun yang menarik dan Januari adalah bulan yang sibuk bagi kami dengan laluan baharu memulakan operasi hariannya. Kami sangat yakin AirAsia terus tumbuh dan kekal catat keuntungan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melepaskan 14 peserta dalam Cabaran Ulang Tahun AirAsia sempena sambutan ulang tahun ke-14 syarikat itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), di sini hari ini.
Bersempena dengan pelancaran laluan baharu itu, AirAsia menawarkan tambang promosi merangkumi semua dari serendah RM88 sehala menerusi airaisa.com untuk perjalanan dari Januari 22 hingga 29 Oktober tahun ini.
Mengenai pertandingan, peserta yang berpasangan dengan selebriti tempatan perlu menyelesaikan pelbagai tugas dan misi seperti mengambil gambar diri sendiri atau ‘selfie’ dan cabaran membeli-belah di sekitar gateway@klia2 yang turut menguji daya ketahanan masing-masing kerana pertandingan itu berbentuk lumba lari.
Pemenang akan membawa pulang hadiah-hadiah yang bernilai sehingga RM180,000 termasuk tiket percuma ke mana-mana destinasi yang dikendalikan AirAsia Bhd (kod penerbangan AK), baucar tunai membeli-belah Lazada RM3,000 dan baucar tunai hotel AirAsiaGo RM1,400.
Selain hadiah utama, peserta juga berpeluang memenangi baucar membeli-belah Lazada bernilai RM20,000 semasa pertandingan akhir. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]J2Kk69MD8q4[/wpdevart_youtube]

