KUANTAN – Polis menahan tiga lelaki dan merampas seutas rantai bernilai RM3,800 serta dua unit telefon bimbit dipercayai hasil kegiatan ragut dalam serbuan berasingan di sekitar daerah ini pada Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh berkata suspek pertama berusia 31 tahun ditahan di Kampung Padang di sini diikuti dua lagi rakannya yang berusia 22 tahun dan 24 tahun tidak lama selepas itu.
“Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui seutas rantai emas yang telah dileburkan dianggar bernilai RM3,800 dan beberapa barangan lain dipercayai milik seorang mangsa ragut dalam kejadian di sebuah restoran di Jalan Sultan Haji Ahmad pada Disember tahun lepas.
“Berikutan penahanan suspek, polis percaya telah dapat menyelesaikan tiga kes ragut di sekitar Kuantan tahun lepas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini hari ini.
Abdul Aziz berkata hasil ujian air kencing terhadap lelaki berumur 31 tahun dan 24 tahun juga mendapati kedua-dua suspek itu positif dadah jenis Amphetamine.
Sementara itu, Abdul Aziz berkata polis menangkap tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes curi kereta dalam serbuan berasingan di sekitar Kampung Karang Darat dan Jalan Sungai Lembing pada Jumaat lepas.
Katanya suspek pertama berusia 29 tahun ditahan di sebuah bengkel di Jalan Sungai Lembing di sini pada pukul 8.30 malam dan hasil pemeriksaan di premis itu, polis merampas sebuah kereta jenis Proton Perdana yang dipercayai dicuri di Jalan Gambut, di sini pada 10 Ogos 2014.
Abdul Aziz berkata hasil soal siasat, polis menahan dua lagi rakannya masing-masing berusia 25 tahun dan 28 tahun di Kampung Karang Darat dan di hadapan sebuah stesen minyak Jalan Sungai Lembing tidak lama selepas itu.
“Ujian air kencing mendapati suspek yang berusia 29 tahun dan 25 tahun turut positif dadah dan polis juga sedang menjalankan siasatan lanjut sama ada mereka turut terlibat dengan beberapa lagi kes curi kenderaan di sekitar daerah ini,” katanya. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]ighSVjElZ2M[/wpdevart_youtube]

