PUTRAJAYA – Tiga lelaki terselamat daripada tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini membebaskan dan melepaskan mereka daripada tuduhan membunuh bekas Bendahari MIC Ipoh Barat N. Sindambaram tujuh tahun lepas.
Panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif memutuskan bahawa berdasarkan keterangan yang dikemukakan kepada mahkamah, sabitan terhadap A. Manimaran, S. Saravanan dan K. Perumal adalah tidak kukuh.
Sebaik mendengar keputusan mahkamah, Saravanan, 32, menghentak-hentakkan kakinya dengan gembira manakala Manimaran, 27, menitiskan air mata. Perumal, 34, pula tidak menunjukan sebarang emosi.
Anggota keluarga mereka yang duduk di galeri awam di dalam mahkamah, dilihat menangis kegembiraan dan bangun untuk mengucapkan terima kasih kepada mahkamah kerana membebaskan ketiga-tiga lelaki itu.
Panel itu yang turut dianggotai Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Datuk Zaharah Ibrahim sebulat suara membenarkan rayuan ketiga-tiga mereka untuk mengetepikan sabit serta hukuman mati itu.
Dalam keputusannya, Raus berkata mahkamah bersetuju dengan keputusan awal Mahkamah Tinggi bahawa kes prima facie tidak diwujudkan terhadap ketiga-tiga tertuduh.
Manimaran, yang bekerja sebagai jurujual; Saravanan, peniaga; dan Perumal, pengawal keselamatan, pada mulanya dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada 29 Nov 2010 tanpa dipanggil membela diri setelah mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadap mereka.
Berikutan rayuan oleh pendakwaan, Mahkamah Rayuan pada April 2013 mengembalikan kes itu kepada Mahkamah Tinggi dan memerintahkan mereka bertiga supaya membela diri.
Ketiga-tiga tertuduh kemudian disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 15 Julai 2013. Mereka kalah dalam rayuan di Mahkamah Rayuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman mati.
Mereka didakwa membunuh Sindambaram, 68, di rumahnya di Jalan Wayang, Buntong, Ipoh, Perak antara 11.30 malam 11 Jan 2009, dan 2.10 pagi hari berikutnya.
Isteri simati, T. Letchumy ketika memberi keterangan semasa perbicaraan, berkata dia melihat mendiang suaminya duduk di rumah tamu rumah mereka dengan dikelilingi enam lelaki yang memakai topeng muka serta bersenjatakan parang dan lantai di tempat suaminya duduk pula berlumuran darah.
Kata Letchumy, selepas kumpulan lelaki itu beredar, dia mendapatkan bantuan jiran supaya menghubungi ambulans untuk menghantar suaminya ke hospital. Kira-kira pukul 6.30 pagi hari berikutnya, dia dimaklumkan bahawa suaminya telah meninggal dunia.
Peguam Hisyam Teh Poh Teik mewakili Manimaran, Afifuddin Ahmad Hafifi mewakili Saravanan manakala T. Vijayandran pula mewakili Perumal.
Timbalan Pendakwa Raya, K. Mangai mewakili pendakwaan. – BERNAMA