BESUT – Dua pegawai Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan seorang wakil Malaysia Airlines (MAS) dari Kuala Lumpur mengambil masa kira-kira sejam memeriksa serpihan logam yang ditemui di pantai Kampung Benting Lintang di sini Rabu lalu.
Pegawai DCA Kapten Mior Nor Badrishah berkata pihaknya akan menyerahkan laporan siasatan mereka berhubung penemuan serpihan logam itu kepada Ketua Pengarah DCA dan Kementerian Pengangkutan dalam masa terdekat.
“Hasil analisis ini akan kita laporkan kepada Ketua Pengarah DCA dan Kementerian Pengangkutan untuk siasatan lanjut,” katanya ketika bercakap kepada pemberita tetapi enggan mengulas lanjut.
Mior dan pegawainya kelihatan mengambil gambar dan membuat catatan ketika memeriksa serpihan separuh melengkung berukuran tiga meter panjang dan dua meter lebar berwarna putih yang telah agak luntur warnanya dan tidak mempunyai sebarang tulisan ataupun nombor.
Serpihan itu kini ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di sini.
Sebelum itu, mereka membuat tinjauan selama setengah jam di lokasi penemuan serpihan berkenaan di Pantai Benting Lintang dekat sini dan turut menemu bual penduduk yang mula-mula menemui serpihan tersebut.
Turut hadir Pengurus DCA Terenggau Ku Amir Ku Mansor dan Ketua Polis Daerah Besut Supt Khaled Che Lah.
Serpihan logam itu dijumpai seorang tukang kayu Zakaria Muhammad, 26, ketika bersama anaknya yang berusia 9 tahun berjalan-jalan di tepi pantai berkenaan kira-kira pukul 6 petang Rabu lepas.
Penemuan serpihan itu sekali gus menimbulkan spekulasi ia mungkin milik pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang hampir 2 tahun lalu.
Pesawat MH370 itu hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014 dengan membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]4A5LDSiz_IQ[/wpdevart_youtube]