KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan terus berdolak dalik berhubung keengganan gabungan parti pembangkang itu mengeluarkan arahan secara terbuka kepada penyokongnnya supaya menyertai bantahan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) esok.
Wakil Pakatan Harapan yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (PAN), Khalid Abd. Samad memberi alasan, Pakatan Harapan tidak berbuat demikian kerana mahu badan bukan kerajaan (NGO) yang menjuarai isu berkenaan.
“Sebagai sebahagian dari strategi, kami bersetuju supaya pihak NGO menjuarai isu ini supaya ia tidak dilihat sebagai isu yang mempunyai apa-apa agenda atau kepentingan politik.
“Bantahan terhadap TPPA turut disuarakan oleh rakan-rakan kami dalam Pakatan Harapan. Mungkin pendirian kami bersama Pakatan Harapan tidak begitu mendapat perhatian sehingga masih ramai yang tertanya-tanya,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Parti Sosialis Malaysia (PSM) hari ini mendedahkan sikap hipokrit Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dalam isu TPPA.
Setiausaha Agungnya, Sivarajan berkata, PKR dan DAP paling kuat menentang TPPA di dalam negara tetapi enggan menyertai protes besar-besaran yang bakal mendapat perhatian masyarakat dunia esok.
Beliau mendedahkan PKR dan DAP enggan menyertai perhimpunan itu kerana khautir akan menyinggung perasaan Amerika Syarikat.
“PSM telah berjuang melawan perjanjian perdagangan bebas sejak 2006. PSM telah menganjurkan bantahan di Kedutaan Amerika Syarikat membantah kepentingan korporat AS.
“DAP dan PKR masih belum membuat keputusan mengenai perkara itu dan lebih suka untuk tidak menyinggung perasaan Amerika Syarikat,†katanya. – mynewshub.cc

