GENTING HIGHLANDS – Pengarah teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen percaya kehadiran Indra Wijaya dari Singapura dalam barisan jurulatih skuad badminton kebangsaan akan memperkukuhkan lagi gaya permainan skuad perseorangan lelaki negara.
Katanya, sebagai pemain dan jurulatih berpengalaman luas, Indra pasti dapat meningkatkan lagi kemahiran pemain muda negara ini.
“Semua orang tahu tentang pencapaian Indra, yang merupakan pemain hebat dan oleh itu, saya percaya kehadirannya di negara ini bulan depan akan membantu pemain perseorangan lelaki kita meningkatkan permainan ke tahap lebih tinggi,” katanya ketika ditemui Bernama pada Kejohanan Badminton Cabaran Juara-juara Resorts World Genting di sini baru-baru ini.
Frost berkata kehadiran Indra pasti akan meringankan beban dua jurulatih perseorangan lelaki sedia ada — Tey Seu Bock dan Hendrawan – yang perlu mengendalikan skuad remaja dan elit.
Sebelum ini, media melaporkan BAM membuat keputusan mendapatkan khidmat Indra berikutan permintaan Chong Wei agar Tey dan Hendrawan mengiringi beliau ke semua kejohanan yang disetainya.
Pada Jumaat, timbalan presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan Indra telah melepaskan jawatan sebagai jurulatih perseorangan lelaki Persatuan Badminton Korea (BKA) untuk menyandang jawatan itu mulai 9 Feb.
Menurut beliau, bekas pemain antarabangsa Singapura itu akan mengendalikan tujuh pemain remaja kebangsaan.
Mereka ialah Cheam June Wei, R. Satheishtharan, Chin Wai Kin, Tan Jia Wei, Lee Zii Jia dan dua muka baharu yang menganggotai pasukan itu, Yeoh Seng Zoe dan Muhammad Syafiq.
Untuk rekod, Indra mewakili pasukan kebangsaan Indonesia dari 1995 hingga 2000, bersama-sama Ardy B. Wiranata dan Hariyanto Arbi, sebelaum mengambil keputusan bermain untuk Singapura dalam beberapa kejohanan antarabangsa.
Dia juga menganggotai pasukan Indonesia yang memenangi Piala Thomas sebanyak dua kali — 1996 di Hong Kong dan 1998 di Kuala Lumpur. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]JFsxdfe51O0[/wpdevart_youtube]