KUALA LUMPUR – Gangguan perkhidmatan KTM Komuter yang berlaku pada pukul 7.30 pagi tadi di laluan KM429.349 Batu Caves-Seremban-Batu Caves berpunca daripada kerosakan alat talian atas kabel elektrik.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hari ini, kerja-kerja baik pulih sedang giat dijalankan dan perkhidmatan dijangka pulih pada pukul 6 petang di laluan Seremban-Batu Caves.
Perkhidmatan bagi laluan Batu Caves-Seremban pula dijangka pulih pada pukul 7 pagi Ahad.
“Stesen-stesen lain yang terlibat dengan gangguan perkhidmatan itu adalah Bangi, Batang Benar, UKM dan Kajang.
“Perkhidmatan KTM Komuter bagi laluan Batu Caves-Seremban akan tamat di Kajang manakala bagi laluan Seremban-Batu Caves akan tamat di Batang Benar,” menurut KTMB.
Sehubungan itu, penumpang dinasihatkan menggunakan alternatif lain bagi mengelakkan sebarang permasalahan.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi pusat panggilan KTMB di talian 03-22671200. – BERNAMA

