PUTRAJAYA – Malam Gegar Anak Seni (Gasseni) bagi mengiktiraf anak seni serta bertemu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan diadakan pada 15 Dis ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Penasihat Gasseni Datuk Ibrahim Yahya berkata majlis julung kali anjuran Koperasi Seniman Kuala Lumpur Bhd, Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia Malaysia (Gafim) dengan kerjasama Briged Kesenian Kementerian Dalam Negeri itu dijangka dihadiri lebih 1,300 karyawan daripada pelbagai cabang seni.
Majlis itu juga akan menyaksikan bacaan ikrar daripada anak-anak seni dalam menyatakan sokongan padu dan tekad mereka untuk berjuang mempertahankan negara, katanya yang juga Setiausaha Akhbar kepada Timbalan Perdana Menteri dalam sidang media memperkenalkan program itu di sini Isnin.
Pengarah Produksi Gasseni Jamaluddin Elias atau Nash berkata Ahmad Zahid, yang disifatkan cukup prihatin dengan golongan anak seni, dijangka menyampaikan ucaptama kepada penggiat seni tanah air pada majlis itu.
Gasseni akan menyaksikan enam penganugerahan kepada anak seni yang telah banyak berjasa dan memberi sumbangan terhadap pembinaan budaya bangsa meliputi cabang nyanyian, filem, televisyen, tarian, muzik dan teater, katanya.
Ahmad Zahid juga akan menyampaikan Anugerah Pohon Beringin kepada Allahyarham Harun Salim Bachik, anugerah utama Gasseni atas khidmat bakti beliau kepada perkembangan seni dan kepimpinan organisasi, katanya. – BERNAMA

