KUALA LUMPUR – Sebanyak RM30.5 juta diperuntuk kerajaan bagi tujuan pembangunan semula fasa kedua Maktab Tentera Diraja (MTD) yang terletak di Kem Perdana Sungai Besi, di sini.
Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Wira Mohd Johari Baharum berkata fasa kedua pembangunan MTD yang dijalankan mengikut perancangan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 itu akan dilaksanakan pada tahun depan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2018.
“Anggaran perbelanjaan sebanyak RM30.5 juta itu akan meliputi pembinaan antara lain, dewan serbaguna, sebuah blok penginapan putera, kantin, tempat duduk penonton berbumbung di padang kawad, loji kumbahan, laman niaga dan fleet kenderaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima tabik hormat sempena majlis perbarisan tamat latihan Putera MTD di sini, Khamis.
Fasa pertama MTD yang merangkumi dua blok penginapan Putera, blok pentadbiran, blok akademik, dewan makan, surau dan auditorium mula dibina pada tahun 2012 dan siap sepenuhnya pada April tahun lepas.
Mohd Johari pada masa sama berharap MTD dapat mengekalkan prestasi terbaik dalam kalangan institusi pendidikan di negara ini pada masa depan.
“Saya lihat MTD antara sekolah yang terbaik dalam negara dan ini dapat dibuktikan apabila ramai pemimpin negara, pegawai tertinggi tentera mahupun tokoh korporat berkaliber lahir daripada MTD,” katanya.
Dalam pada itu, penerima Hadiah Menteri Pertahanan 2015, Mohd Isyraf Mohd Nasir, 17, berkata aspek pengurusan masa yang diterapkan semasa menuntut di MTD dilihat faktor utama beliau memperoleh anugerah utama dalam majlis itu.
“Sebagai seorang pelajar di maktab ini yang mengamalkan konsep asrama penuh, kami dilatih untuk menjadi seorang yang berdisiplin terutamanya aspek pengurusan masa kerana banyak aktiviti yang direncanakan serta wajib dipatuhi penuntut MTD.
“Walaupun sibuk dengan pelbagai aktiviti yang disertai di MTD, saya tetap menggunakan segala ruang kosong yang ada untuk mengulangkaji pelajaran baik secara sendiri mahupun berkumpulan,” katanya yang mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang forensik di United Kingdom atau Ireland dan berhasrat menjadi pakar forensik.
Sejumlah 213 Putera tingkatan lima dari MTD terlibat dalam upacara perbarisan hari ini bagi meraikan usaha mereka dalam mengharungi liku-liku sebagai penuntut di maktab itu sejak melapor diri pada Januari 2014. – BERNAMA