BUTTERWORTH – Seorang pemandu lori bukan sahaja kerugian lebih RM1,500 malah turut cedera selepas dipukul sekumpulan lelaki yang menyamunnya dalam kejadian di Jalan Bagan Luar, di sini awal pagi semalam.
Jurucakap polis berkata dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, lelaki berusia 38 tahun berkenaan sedang minum di tepi jalan sebelum didatangi tiga lelaki menaiki sebuah kereta.
“Tiga lelaki itu kemudiannya bertanya mangsa bekerja di mana dan sama ada dia bergaduh dengan sesiapa sebelum seorang daripada mereka mengambil pengunci stereng kereta dan terus memukul pemandu lori berkenaan.
“Mereka memukul mangsa sebelum melarikan beg sandang lelaki itu yang mengandungi wang tunai RM600, dua telefon bimbit, dokumen peribadi dan pelbagai kad ATM. Semuanya bernilai lebih RM1,500,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata beberapa orang yang menyedari kejadian itu cuba membantu mangsa dan menghantar lelaki berkenaan ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan.
Jurucakap itu berkata ekoran kejadian berkenaan, mangsa mengalami luka di kepala dan muka serta bengkak-bengkak di badan akibat dipukul dengan objek keras.
Katanya mangsa tidak dapat mengecam tiga lelaki yang memukul dan menyamunnya itu kerana kawasan berkenaan gelap dan kejadian itu berlaku dengan pantas, tidak sampai lima minit.
“Usaha mengesan tiga lelaki dipercayai berusia antara 18 hingga 30 tahun yang terlibat dalam kejadian berkenaan giat dijalankan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Azmi Adam ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat menurut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. – BERNAMA

