KUALA TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) cawangan Terengganu merekodkan nilai rampasan hampir RM1 juta bagi tempoh 1 Jan hingga 15 Dis lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Roslee Daud berkata jumlah itu melibatkan 620 kes atas pelbagai kesalahan.
“Setakat ini KPDNKK Terengganu merekodkan rampasan bernilai RM945,314.86 daripada pemeriksaan ke atas 96,832 premis perniagaan di seluruh negeri dan sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 109 notis dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
“Sepanjang tempoh itu juga, 245 kesalahan mengikut AKHAP 2011 dicatatkan, Akta Timbang dan Sukat 1972 (207 kes), Akta Perlindungan Pengguna 1999 (28) dan Akta Kawalan Bekalan 1961 (25),” katanya dalam satu kenyataan Jumaat.
Pada masa sama katanya, sebanyak 109 kesalahan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan enam kes mengikut Akta Sewa Beli 1967 turut direkodkan.
“Kuala Terengganu mencatat kes tertinggi iaitu 305 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM177,493.72 diikuti Kemaman dengan 123 kes dengan nilai rampasan RM568,192.90.
“Dungun pula mencatat 97 kes membabitkan nilai rampasan RM161,657.37 manakala Besut mencatat 95 kes dengan nilai rampasan RM37,970. 87,” katanya.
Roslee yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Besi berkata KPDNKK sentiasa peka dengan sebarang aduan yang diterima dan akan bertindak secepat mungkin setelah menerima aduan.
“Kempen hak kepenggunaan yang dijalankan selama ini mula menunjukkan perkembangan positif di mana pengguna semakin prihatin terhadap persekitaran dan mereka akan membuat aduan kepada KPDNKK sekiranya ada keraguan dalam urus niaga yang dilakukan.
“Malah aduan tidak rasmi melalui laman sosial juga turut diambil kira dan selepas itu, pengguna boleh mengemukakan aduan rasmi mengikut prosedur untuk memudahkan penguatkuasa KPDNKK membuat siasatan lanjut,” katanya. – BERNAMA