BUKIT MERTAJAM – Bomba mengambil masa lebih empat jam untuk memadam kebakaran yang memusnahkan sebuah kilang papan di Bukit Tambun di sini, awal pagi tadi.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, kebakaran berlaku pada 2.12 pagi tadi dan jentera pertama tiba di lokasi kejadian, 13 minit kemudian.
“Ketika pasukan bomba tiba, api sedang marak dan sebahagian kilang yang dipenuhi dengan papan serta kayu yang baru siap diproses telah terbakar.
“Pihak bomba menghadapi kesukaran kerana kebanyakkan barang yang berada dalam kilang itu mudah terbakar,” katanya di sini hari ini.
Katanya, bomba mengambil masa lebih empat jam untuk mengawal api daripada merebak ke kawasan kilang berhampiran dan sehingga 6.30 pagi tadi operasi memadam keseluruhan kebakaran berakhir.
“Kami terpaksa mengunakan ‘backhoe’ (pengorek kaut) untuk kerja-kerja mengalih longgokan bahan yang mudah terbakar seperti kayu serta papan yang berada di kilang itu,” katanya.
Menurut PGO lagi, lebih 60 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba Perai dan Balai Bomba Bandar Perda dibantu lapan pasukan bomba sukarela terlibat dalam operasi memadam kebakaran itu.
Semasa kebakaran itu tiada pekerja yang berada di kilang berkenaan.
Menurut PGO, punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat. – BERNAMA