KUALA LUMPUR – Sebanyak 396,000 kilogram (kg) sisa kitar semula berjaya dikutip daripada kediaman dan premis perniagaan sejak sistem pengasingan sisa pepejal di punca dikuatkuasakan 1 Sept lepas.
Penguatkuasaan itu melibatkan tujuh negeri dan wilayah iaitu Kuala Lumpur/Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata dalam tempoh dua bulan pertama pelaksanaan sistem itu, hasil jualan sisa yang boleh dikitar semula mencecah RM35,414.
“Daripada jumlah keseluruhan sisa yang dikutip, plastik adalah kategori sisa yang paling banyak iaitu 155,000kg.
“Ini menunjukkan penggunaan bahan plastik dalam kalangan masyarakat kita adalah tinggi,” katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan 2015 di Taman Tasik Permaisuri Cheras, di sini, hari ini.
Isi rumah di tujuh negeri terbabit yang menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672) diwajibkan mengasingkan sisa pepejal mengikut kategori seperti plastik, kertas, kadbod, kaca, besi dan sisa makanan.
Halimah berkata, pada masa kini jumlah bahan kitar semula yang dibuang ke tapak pelupusan setiap tahun dianggarkan sebanyka 2.3 juta tan dengan anggaran nilai jika dikitar semula mencecah RM900 juta.
“Ini merupakan pembaziran daripada segi penggunaan sumber dan ekonomi kerana ia berpotensi mewujudkan industri yang memproses bahan kitar semula menjadi barangan pengguna,” katanya. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]bTgKjFRZXho[/wpdevart_youtube]