KUALA TERENGGANU – Terengganu berhasrat membangunkan perkampungan industri Nelayan di Kampung Seberang Pak Abu, dekat sini tahun depan.
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata pembangunan di kawasan seluas 8.8 hektar dengan kos kira-kira RM170 juta itu bakal menjadi sumber ekonomi kepada para nelayan.
“Buat permulaan sebanyak RM10 juta telah diluluskan kerajaan pusat bagi tujuan reka bentuk pembangunan perkampungan itu,” katanya kepdaa pemberita selepas lawatan di sini, semalam.
Menurut Ahmad Razif, pembangunan projek berkenaan yang melibatkan pembinaan kilang memproses isi ikan, membuat keropok dan membekalkan ikan kepada orang ramai itu dapat melindungi kawasan pesisir pantai dan ia kini sedang diperhalusi dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu.
“Sekarang ini proses membuat keropok secara tradisional telah hilang dan dengan penubuhan ini, ia sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Razif berkata sebuah Bandar Wakaf yang mempunyai segala kemudahan untuk golongan yang kurang berkemampuan juga akan dibina di Kuala Nerus.
Katanya, Bandar Wakaf itu akan dibangunkan rumah kediaman khususnya untuk pelajar universiti yang tidak berkemampuan selain ruang perniagaan kepada mereka yang berminat menjalankan perniagaan tetapi tidak mampu.
“Bandar wakaf ini akan dibangunkan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) di Kampung Padang Nenas merangkumi hampir 9 hektar keluasan tapak.
“Konsep wakaf ini akan membantu golongan asnaf dan yang tidak berkemampuan terutama pelajar dan peniaga bagi meringankan beban mereka,” katanya. – BERNAMA