TERNYATA langkah membawa jenama drama Mok Cun ke pentas teater tidak menghampakan kesemua peminat setia drama bersiri popular itu.
Pengarahnya yang juga pelakon utama, Eirma Fatima ternyata tidak hilang taring apabila berjaya menyajikan satu naskhah teater yang cukup rasanya.
Ia meninggalkan seribu satu rasa kepada hadirin yang menonton teater berdurasi dua jam 30 minit itu.
Drama Jadi Fenomena, Mak Cun Ke Pentas Teater Pula
Plot permulaan dimulakan dengan persembahan nyanyian lagu tema Mok Cun yang kini menjadi siulan bukan sahaja kepada pengikut drama ini bahkan kepada kanak-kanak di luar sana.
Jalan cerita untuk teater menerapkan unsur kegigihan Mok Cun dalam usahanya untuk memasarkan produk bedak sejuknya ke peringkat antarabangsa.
Dengan pertolongan daripada rakan baiknya, Pak Akob lakonan Dato’ Rahim Razali, Mok Cun diperkenalkan dengan dua watak baharu yang diperkenalkan menerusi edisi teater.
Ini ialah Pegawai MARA, Encik Haidar yang dijayakan oleh pelakon tinggi lampai, Ungku Ismail Aziz serta pembantunya, Encik Meor lakonan bersahaja Dafi.
Sepanjang lebih dua jam, memang tidak kering gusi dan seisi Panggung Sari bergema dengan tawa penonton yang terhibur dengan dialog barisan pelakon yang mencuit hati.
Lebih-lebih lagi yang dilontarkan oleh ‘musuh’ Mok Cun, Zeenat Manisah yang diberikan nafas oleh pelakon berkaliber, Datin Paduka Umie Aida.

Dalam bergelak ketawa, Eirma juga tidak lupa menyampaikan pengajaran buat penonton apabila menyelitkan watak anak bongsunya, Halimaton lakonan Betty Rahmad
(Betty menggantikan Nora yang kebetulan ada komitmen kerja lain pada malam itu) sedikit ‘culture shock‘ sekembalinya ke tanah air.
Aton malu bertutur dalam bahasa Malaysia selain terlalu mengagung-agungkan budaya Barat sehingga memaksa Mok Cun menghalau Aton keluar daripada rumahnya.
Ketika itu emosi penonton sedikit terkesan dengan babak tersebut yang berjaya menusuk ke hati bila mana dialog Eirma cukup ‘pedas’ untuk segelintir individu yang terlalu mengangkat budaya asing sehingga sanggup ‘membunuh’ budaya nenek moyang sendiri.
Dalam perjalanannya untuk menempuh kejayaan membawa produknya ke peringkat global, Mok Cun turut berdepan pelbagai cabaran.
Antaranya hasad dengki Manisah serta pemikiran tipikal masyarakat desa yang enggan berusaha untuk membawa produk mereka ke peringkat luar gara-gara selesa dengan kehidupan yang asal boleh dan cukup untuk mereka.
Enggan terikat dengan pemikiran sedemikian Mok Cun mengajak rakan-rakan pengusahanya yang lain agar bersemangat waja dan jangan putus asa untuk memasarkan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) agar sama-sama dapat membangunkan ekonomi negara.


Bermacam ragam timbul dan latar belakang props yang menggambarkan keindahan rumah kampung serta bendang.
Ini sememangnya mampu membuatkan penonton ‘cuci mata’ kerana pemandangan indah dan damai sebegitu pastinya susah sekali nak didapati di hutan konkrit Kuala Lumpur.
Yang pasti penulis cukup terhibur dengan persembahan tiga bintang utama naskah ini iaitu Mok Cun, Manisah dan anak sulung Mok Cun, Atul lakonan paling bersahaja yang diberikan pelakon Balkish Semundur Khan.
Aksi gila-gila Atul memberi rencah sama seperti wataknya dalam drama yang setia menjadi ‘side kick’ kepada ibunya.

Selain Atul, watak Manisah turut meraih tumpuan hadirin yang begitu terpesona dengan persalinan ‘lip lap lip lapnya’ yang cukup cantik dan menambahkan seri pelakon serba boleh itu.
Yang menariknya, pada tayangan malam itu turut diserikan dengan kehadiran suami aktres itu, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan yang baharu sahaja dibebaskan selepas dua bulan ditahan di Penjara Sungai Buloh.
Kehebatan Umie Aida tidak perlu dipertikaikan bila mana beliau cukup bijak ‘ad lib‘ dialog dengan gaya bersahaja selain menunjukkan kehebatan menunggang skuter di atas platform pentas yang ‘cukup-cukup makan’ untuk skuter itu lalu.
Secara keseluruhannya, teater Mok Cun merupakan satu naskhah seni komersial yang berjaya mengangkat tema kisah usahawan desa yang jarang sekali diketengahkan oleh mana-mana pengiat filem atau drama.
Kisah dan garapan yang cukup bersahaja, sempoi dan pelakon-pelakon yang membawa watak ‘makcik-makcik kampung’ yang dijayakan pelakon asal drama tersebut berjaya menjiwai watak malah dialog mereka juga mampu menggamatkan suasanan satu panggung.

Memang satu karya yang cukup rencahnya, ada manis, ada pahit, ada pedas yang berjaya membawa penonton ‘kenyang’ dan berpuas hati dengan persembahan kesemua tenaga kerja Teater Muzikal Mok Cun.
Bagi yang ingin menonton Mok Cun, masih belum terlambat untuk anda menyaksikannya kerana ia masih ditayangkan sehingga Ahad ini.
Anda boleh mendapatkan tiket berharga RM36, RM76, 86, RM106 dan RM156 dengan menghubungi redtix.airasia.com atau menerusi kaunter Istana Budaya. – MYNEWSHUB.CC
Oleh:  Juliana JoharÂÂ
Kredit Foto: Instagram Akugraphy
ASK 2015 – Teater Muzikal Mok Cun

