Menurut stesen penyiaran Singapura, Channel NewAsia, meskipun firma induknya, Rayani Air Sdn. Bhd. belum lagi memulakan operasi penerbangannya, ramai telah memberi maklum balas positif dengan kemunculannya itu.
Antaranya, syarikat udara bajet itu langsung tidak menghidangkan minuman keras dalam pesawat, bahkan pramugari beragama Islam diwajibkan bertudung manakala bukan Muslim pula dikehendaki berpakaian sopan.
Malah, setiap penerbangan juga bakal dimulakan dengan bacaan doa sebelum pesawat berlepas, menurut Rayani Air dalam catatan menereusi laman Facebooknya yang dipetik oleh stesen penyiaran tempatan, Astro Awani.
Baca: Rayani Air Pilih Langkawi Sebagai Hab Penerbangan
Di peringkat antarabangsa, syarikat yang beribu pejabat di Shah Alam, Selangor ini adalah keempat di dunia sebagai operator penerbangan patuh syariah selepas Royal Brunei Airlines, Saudia Arabian Airlines dan Iran Air.
Antara pengguna media sosial yang memuji-muji usaha Rayani Air itu ialah pengguna Twitter iaitu @Chopie_ERA yang menyatakan: “Macam baik ini. Congrats Rayani Air. Let’s fly berdasarkan pematuhan syariah.”
Seorang lagi netizen tempatan, Muhammad Hasif pula turut menulis: “Sesiapa yang mahu menjadi pramugari namun tetap mematuhi syariah, anda bolehlah memohon pekerjaan dengan syarikat Rayani Air.”
Sementara itu, seorang lagi pengguna dengan nama @YayaManaf malahan berkata: “Satu-satunya airline yang tampil menawarkan interview (temuduga kerja) untuk golongan wanita hijabster.”
Menurut laporan media tempatan, usaha Rayani Air itu dianggap sebagai satu titik permulaan dalam pelaksanaan pematuhan syariah untuk sebuah syarikat penerbangan yang lebih menyeluruh pada masa akan datang.
Rayani Air dijangka dapat memulakan operasi udaranya pada hujung bulan ini dengan Langkawi dijadikan sebagai hab utamanya, manakala lapangan terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu, Kelantan sebagai hab kedua.
Ia yang kini beroperasi dengan dua pesawat Boeing 737-400 sebagai permulaan bakal terbang ke destinasi domestik antaranya KLIA2, Pulau Pinang, Melaka, Kuching dan Kota Kinabalu. – Agensi/Myewshub.cc/HAA
ÂÂ



