KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan serangan ke atas Paris awal pagi tadi sebagai satu tindakan yang tidak bertamadun dan kejam.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, serangan oleh pengganas itu bertujuan menimbulkan ketakutan ke atas semua pihak.
“Saya sepenuh hati mengutuk perbuatan ini dan berdoa agar orang yang melakukannya ditangkap serta merta,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Katanya, PKR bersolidariti dengan rakyat Perancis berhadapan dengan saat-saat sukar tersebut.
Media hari ini melaporkan Perancis digegarkan dengan adegan tembak-menembak, letupan dan tawanan tebusan di beberapa kawasan di Paris.
Presiden Perancis menyifatkan kejadian tersebut sebagai serangan pengganas terburuk terhadap negara berkenaan.
Justeru, Hollande mengisytiharkan darurat di seluruh negara dengan semua pintu sempadan ditutup.
Kumpulan pengganas menyerang restoran, bar dan dewan konsert, stadium bola sepak dan beberapa lagi lokasi di bandar raya sehingga mengorbankan lebih 158 kematian setakat ini. – Mynewshub.cc
[wpdevart_youtube]PdszHXn_fHY[/wpdevart_youtube]

