KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah mengadakan 32 kali mesyuarat bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 Siri 3.
Laporan Audit itu menyatakan, sepanjang tahun lepas pula, jawatankuasa itu telah mengadakan 44 kali mesyuarat serta dua kali lawatan projek.
“Mesyuarat PAC pertama tahun ini diadakan pada 17 Mac iaitu mengenai Perkhidmatan 1BestariNet manakala kali terakhir pada 9 dan 7 Julai mengenai Pembentangan Laporan Awal Kawalan Tadbir Urus 1Malaysia Development Berhad (1MDB),” menurut laporan itu.
Bagi 2014 pula, Laporan Audit menyebut mesyuarat pertama PAC diadakan pada 16 Januari yang membincangkan mengenai Projek Pembinaan Kuala Lumpur International Airport 2 (KLIA 2) manakala mesyuarat terakhir pula diadakan pada 17 Nov iaitu Mesyuarat Yang Berhormat Anggota Jawatankuasa PAC bersama Jabatan Audit Negara dan Agensi.
Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 Siri 3 dibentangkan di Parlimen hari ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Sebanyak 268 syor dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 Siri 3 itu bagi membantu Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan dan kerajaan negeri membuat penambahbaikan serta memperbaiki kelemahan yang dilaporkan. – BERNAMA

