TEMERLOH – Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjun ke Sungai Pahang dari jambatan Temerloh setinggi kira-kira 20 meter lebih kurang jam 4.15 petang semalam.
Lelaki terbabit dipercayai menunggang motosikal dari arah bandar Temerloh memberhentikan motosikalnya di tengah jambatan lalu memanjat pagar dan terjun.
Saksi, Azahari Lateh berkata, dia yang dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja, melihat lelaki berkenaan di tengah jambatan.
“Saya tegur dia yang ketika itu sedang pegang pagar jambatan. Apabila ditegur lelaki itu seperti marah memandang tepat ke muka saya.
“Saya teruskan perjalanan. Bila sampai di rumah saya dapat tahu seorang lelaki terjun jambatan. Tak sangka pula rupa-rupanya lelaki yang saya tegur tadi,†katanya.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Anuar Othman, mengesahkan kejadian itu.
Operasi mencari yang disertai pasukan bomba, polis dan penduduk kampung dimulakan kira-kira 4.30 petang semalam.
Pemilik asal kenderaan turut dikesan dan seorang wanita yang juga ibu mangsa mengesahkan anak lelakinya membawa motosikal itu.
Mangsa turut dikatakan mempunyai rekod sakit mental dan ahli keluarga akan membuat laporan kejadian dalam masa terdekat. – Sinar Harian Online