PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi akan menjalankan kajian dalam aspek kesihatan dan sosial sebelum membuat keputusan mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape di universiti.
Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata kajian itu perlu dilakukan agar perbezaan pendapat mengenainya dapat diselesaikan bagi memastikan keputusan yang dibuat diterima oleh semua pihak.
Beliau berkata untuk tujuan itu, kementerian melalui Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menjalankan kajian menyeluruh mengenai amalan vape yang dilihat menjadi budaya baharu dalam kalangan pelajar universiti.
Hasil kajian yang dijangka mengambil masa enam bulan itu akan turut digabungkan dengan kajian yang dilakukan Universiti Sains Malaysia (USM) sebelum dibentangkan kepada kabinet untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan forum dan persidangan meja bulat pemimpin muda jaminan kualiti ASEAN di sini Khamis.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Rujhan Mustafa, yang juga bertindak selaku penganjur forum.
Baca: Tun M – Nikotin Tinggi Rokok Elektronik, Rokok Biasa Sama Bahaya
Juga: CAP Gesa Kerajaan Lebih Tegas Haramkan Terus Vape
Sehingga itu, Idris berkata pihak universiti bagaimanapun dibenarkan membuat keputusan untuk mengharamkan vape di institusi pengajian masing-masing.
Ia sebagaimana pengharaman rokok yang dikuatkuasakan di beberapa universiti, antaranya USM selaras dengn dasar kampus hijau yang diamalkan selama ini.
“Walaupun wujud perbezaan pendapat berhubung rokok elektronik, saya dapati sudah ada beberapa Naib Canselor yang bersetuju agar vape tidak dibenarkan di kampus mereka selaras amalan kampus hijau,” katanya.
“Dalam aspek kesihatan, ramai tanya adakah benar vape mengandungi nikotin atau bahan tidak dibenarkan, manakala dari sudut sosial ada anggap vape boleh gantikan rokok dan tidak berbahaya dari segi kesihatan.
“Apabila gambaran sebegini wujud, vape seolah-olah sudah menjadi satu budaya baharu di mana tabiat itu juga dikesan menular di kalangan pelajar yang sebelumnya bukan seorang perokok,” katanya
Mengenai forum itu, Idris berharap perbincangan yang diadakan dapat mewujudkan satu penanda aras dari segi jaminan kualiti dalam usaha menjadikan ASEAN sebagai pusat kecemerlangan pendidikan pada masa depan. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]kV1Q-dLVfFY[/wpdevart_youtube]