GEORGE TOWN – Semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran (kuliah dan tutorial) serta aktiviti luar Universiti Sains Malaysia (USM) yang dijadual pada hari ini ditangguhkan berikutan keadaan jerebu yang semakin buruk.
Pendaftar USM, Siti Zubaidah A. Hamid berkata, penangguhan ini melibatkan Kampus Induk Pulau Pinang, Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Bertam.
Dalam kenyataan di sini hari ini, beliau berkata, USM mengambil langkah berjaga-jaga berikutan keadaan persekitaran negara yang dilanda jerebu tebal.
Bagaimanapun, beliau berkata, semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang ditangguhkan perlu diganti dan dijadual semula mengikut kesesuaian oleh Pusat Pengajian masing-masing.
Katanya penangguhan aktiviti pengajaran dan pembelajaran pada hari-hari berikutnya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – BERNAMA

