KOTA BHARU – Sekretariat UMNO akan mengumpul bukti secukupnya sebelum mengambil sebarang keputusan terhadap tujuh pemimpin yang didakwa mengkritik parti secara terbuka, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata setelah semua bukti itu lengkap, ia akan dikemukakan kepada pengurusan tertinggi parti sama ada Jawatankuasa Disiplin atau Majlis Tertinggi.
“Saya serahkan atas kebijaksanaan Setiausaha Agung (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) untuk mengumpulkan semua butiran terperinci terhadap individu yang disebutkan itu,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Taklimat Isu-isu Semasa di sini, hari ini.
Majlis yang dihadiri lebih 2,000 anggota UMNO pelbagai peringkat itu turut disertai Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Tengku Adnan sebelum ini dilaporkan berkata satu Jawatankuasa Khas sedang menjalankan siasatan terhadap tujuh pemimpin UMNO berhubung kenyataan terbuka mereka yang boleh menjejaskan parti. – BERNAMA

