BERSEMPENA Konsert Panggung Khayalan yang bakal berlangsung Sabtu ini, Mynewshub berpeluang bertemu kumpulan Search ketika mereka mengadakan latihan terakhir di studio Bsynclive, Kuala Lumpur sebelum bertolak ke Johor Bahru keesokan harinya.
Selain berpeluang berborak dengan vokalis Search, Amy yang ‘sempoi’ kepalanya, kami turut menyaksikan band otai rock negara ini jamming bersama.
Malah istimewa buat pembaca Mynewshub, kami rakamkan video di bawah yang memuatkan sesi latihan lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur.
Fuh, rasa dah tak sabar nak layan konsert Search Sabtu ni kan!
Jom ikuti temubual eksklusif dengan Amy yang kami bawakan khas untuk anda…
Asalamualaikum bang, macam mana dah bersedia untuk persembahan nanti?
Waalaikumsalam, yes kami sudah bersedia 100% demi memberikan persembahan terbaik. Kami mengadakan latihan dari dua minggu sebelum ini dan sebentar tadi merupakan latihan terakhir sebelum Sabtu ini.
Agak-agak selepas dah 34 tahun dalam bidang muzik, abang masih ada perasaan stage nervous (gemuruh) lagi tak sewaktu nak beraksi di konsert nanti?
Of course masih rasa perasaaan gemuruh. Dari pengalaman saya, setiap kali hendak beraksi pasti akan berasa gementar, walaupun sudah bermacam konsert yang dah Search lakukan. Perasaan gementar tersebut masih ada, bak kata orang kalau dah tak ada perasaan tersebut maknanya dah boleh berhentilah dalam bidang seni (hehe).
Mengapa Johor dijadikan pilihan lokasi konsert Panggung Khayalan? Adakah kerana kumpulan Search asal dari negeri terbabit atau peminat di selatan tanah air lebih meriah berbanding tempat lain?
Oh bukan begitu, ini semua cadangan pihak penaja. Berdasarkan pengalaman kami sepanjang mengadakan siri jelajah, boleh dikatakan kesemua negeri memberikan sokongan padu terhadap Search. Lokasi Johor juga dipilih bagi memudahkan peminat-peminat kami yang berada di Singapura dan Indonesia.
Boleh imbau sedikit pahit manis bersama Search dalam industri rock tanah air?
Pahit manis sepanjang menceburi bidang seni ini menyaksikan pelbagai kisah, macam-macam lah, namun kami masih ingat lagi ketika hendak merakam album, kami pernah sewa studio selama sebulan bagi memberikan konsentrasi sepenuhnya. Setiap hari, pagi petang siang malam kami ke studio, dah macam rumah kedua.
Sebagai band yang mampu bertahan begini lama, boleh ulas sedikit mengenai kepercayaan pemuzik di Barat kononnya bila tiba album keempat, ianya adalah ‘perjalanan terakhir’.
Ya, banyak kumpulan muzik terutama di Barat seakan berakhir bila tiba album keempat malah komposer Datuk M. Nasir juga pernah mengingatkan kami tentang itu. Namun Search sebaliknya apabila album keempat merupakan album terbaik dan jadi tuah yang buat kami bertahan sampai ke hari ini.
Oh, maksudnya Search telah berjaya melawan stigma berkenaan…
Tepat sekali, namun di manakah kejayaan tanpa datangnya usaha? (hehe) Album keempat kami yang berjudul Fenomena merupakan album pertama kami dalam bentuk cakera padat (CD). Bayangkan, kami mencari ilham sehingga ke Indonesia dan turut mencari formula baru agar Search kekal bertahan dalam industri.
Pada tahun tersebut juga, Search menyertai BMG dan pada masa sama gitaris, Hillary meninggalkan Search untuk jadi pemuzik bebas. Tempat beliau telah diganti oleh kid, yang merupakan bekas gitaris kumpulan Gersang. Maka lahirlah album Fenomena, memuatkan lagu Isabella yang terus menjadi malar segar sehingga ke hari ini.
Isabella turut menjulang nama Search hingga ke puncak, apabila lagu itu turut digemari di Indonesia dan Search mula diundang membuat persembahan di sana.
Itu boleh dikira detik istimewa bagi sebuah band rock Malaysia apabila dapat membuat konsert di negara seberang yang selama ini sentiasa tertutup rapat buat artis dari Malaysia. Kami pecahkan tradisi tersebut dan mulai saat itu nama Search terus mekar di Nusantara sebagai salah sebuah kumpulan rock paling berpengaruh.
Fuh, agak berliku juga kan bagaimana Search berjaya kekal jadi lagenda dalam industri seni. Bang, boleh bagi kata akhir kepada peminat Search yang membaca Mynewshub?
Buat peminat Search semua, tunggu kami di Johor nanti ya! Bersama-sama kita gegarkan muzik rock Malaysia!
Oleh: Ieamyrul Haziq Ehsan
Video: Riza Razak