TERNYATA khabar yang tersebar mendakwa pihak penaja bagi ‘Konsert Solo Pertama Soo Wincci’ telah tarik diri ketika persiapan giat dijalankan adalah benar belaka.
BACA: Tak Setuju Soo Wincci Campur Tangan Hal Politik, Penaja Konsert Tarik Diri
Meskipun begitu, Soo Wincci nekad mahu meneruskan konsertnya 31 Oktober ini hingga sanggup melabur sebanyak RM500,000 selepas kehilangan beberapa penaja gara-gara tindakannya mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.
Menurut penyanyi Musim Asmara ini, dia enggan membatalkan konsert berkenaan kerana mahu menjaga reputasinya sebagai seorang penyanyi profesional.
“Keluarga terutamanya ibu saya menasihatkan supaya konsert itu dibatalkan sahaja, sekurang-kurangnya duit tidak dilaburkan dengan lebih banyak.
“Tetapi saya tak boleh berbuat demikian. Jika ia dibatalkan, saya akan hilang kepercayaan daripada pihak luar memandangkan saya sudah berjanji mahu adakan konsert itu dan reputasi nama yang saya bina juga akan terjejas. Dua perkara penting itu tidak boleh dibeli dengan wang ringgit,” katanya kepada mStar Online.
Wincci mendedahkan, penjualan tiketnya sehingga kini tidak mendapat sambutan yang menggalakkan.
“Apa yang saya tampilkan dalam Inwinccible ialah konsert bertaraf antarabangsa. Saya mahu tunjukkan pada mereka bahawa industri muzik Malaysia mampu setaraf dengan negara-negara maju di luar sana. Saya mahu naikkan industri muzik kita semula.
“Sebab itu, ada penaja atau tidak, tiket dapat sambutan atau tidak, saya akan bersungguh-sungguh menjayakan persembahan konsert ini,” ujarnya.
Sementara itu, Wincci akui dia sudah menjangkakan perkara ini selepas tindakannya mencampuri hal politik, namun dia redha dan menerima dengan hati terbuka.
Bagi yang berminat menyaksikan konsert Inwinccible, tiket berharga RM216, RM322, RM428 dan RM534 boleh dibeli menerusi laman web www.ticketcharge.com.my.
Inwinccible akan berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). – MYNEWSHUB.CC
Sumber: mStar Online

