SUSULAN penemuan dua kanak-kanak Orang Asli yang mendakwa mereka diberi makan oleh seseorang sepanjang kehilangan selama 47 hari itu, banyak pihak mengaitkan perkara itu dengan makhluk bunian.
Namun, menurut ulama Dr. Fathul Bari Mat Jahya, kepercayaan tersebut dikhuatiri boleh merosakkan akidah, justeru adalah lebh baik ia dilihat daripada aspek logik akal manusia.

Memetik Berita Daily, Dr. Fathul berkata, “Saya tidak melihat seperti itu… hanya orang yang memberi makan kepada orang lain.”
“Kita diberi makan Allah hari ini, kenapa fikir begitu? Pelik fikiran begitu, imaginasi yang pelik.
“Jangan kita keterlaluan dalam menerjah isu-isu seperti ini, kita letak ke tepi, ambil perkara yang logik dan rasional sahaja.
“Yang melabelnya adalah berdasarkan budaya dan masyarakat. Budaya kini mempercayai bunian, budaya dan cerita orang lama sebenarnya. Benda ghaib yang layak memberikan penamaan dan pelabelan hanya Allah.
“Jadi soal ada orang yang menyembunyikan hatta yang memberikan makan Allahualam saya tidak berpendapat seperti itu sebab makhluk-makhluk ini tidak mampu mendatangkan apa-apa mudarat melainkan dengan izin Allah.
“Kita tidak mahu ini merosakkan akidah dan kepercayaan, akhirnya jadi syirik. Kita bukan minta kepada jin tetapi kepada Allah,” ulas beliau.
Nurieen Yaakob, 10, dan Mirsudiar Aluj, 11, kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan dan dilaporkan sudah beransur pulih apabila selera makan mereka semakin meningkat.
Namun, buat masa ini doktor menasihatkan mereka hanya boleh makan makanan yang dikisar sahaja. – MYNEWSHUB.CC
Kronologi kehilangan 7 murid Orang Asli SK Tohoi.

