WASHINGTON DC – Seorang banduan akhir yang akan menjalani hukuman mati di Oklahoma City menarik nafas lega untuk sementara waktu selepas dimaklumkan bahawa hukuman berkenaan ditangguhkan selama 37 hari.
Secara kebetulan penangguhan itu hanya beberapa minit sebelum banduan tersebut disuntik dengan ubat beracun. Richard Glossip disabitkan dengan kesalahan membunuh pemilik sebuah motel pada 1997.
Mujur dia juga baharu menghabiskan makanan akhir untuk banduan hukuman mati dengan 5,000 kalori meliputi pizza, Fish n Chips dan strawberi sebelum menjalani hukuman tersebut.
Dia kini dimasukkan semula ke dalam penjara sementara menanti masa 37 hari. Glossip sebelum ini menyatakan dia memang tidak bersalah dan mendapat sokongan ramai penduduk tempatan.
Ini kerana tiada bukti kukuh untuk mensabitkan dia. Beberapa tokoh terkenal turut menyertai kempen bagi menentang hukuman mati dikenakan ke atasnya termasuk aktress Susan Sarandon dan Sister Helen Prejean.
Dalam pada itu, jurucakap kerajaan menyatakan hukuman berkenaan ditangguhkan kerana pihaknya menyedari mereka tidak mempunyai ubat yang sesuai bagi digunakan dalam hukuman mati tersebut.
“Ubat berkenaan hanya diberikan pada kepada pihak jabatan penjara pada hari hukuman mati dilaksanakan namun pegawai yang bertugas tidak menyedari bahawa ia adalah potassium acetate.
“Sepatutnya potassium chloride yang biasa digunakan dalam hukuman berkenaan dan ini mengambil masa lebih sebulan sebelum kami dapat semula ubat sebenar,” kata jurucakap itu. - MYNEWSHUB.CC