KUANTAN – Perancangan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) untuk melantik ketua pengarah atau timbalan ketua pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) daripada kalangan Orang Asli adalah bertepatan dan kena pada masanya.
Sambil menyokong 100 peratus cadangan itu, bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Dr. Omar Othman berkata pelantikan itu memberi peluang lebih baik kepada mereka, malah dapat memahami kehendak dan permasalahan berkaitan masyarakat peribumi itu.
Sewaktu memegang jawatan exco kerajaan negeri Pahang selama tiga penggal, beliau pernah menyuarakan hasrat untuk melihat masyarakat Orang Asli mengisi jawatan tinggi dalam pentadbiran kerajaan.
“Sekarang saya lihat mereka juga bersama-sama berjaya mengisi peluang yang diberikan oleh kerajaan untuk memegang beberapa jawatan besar dalam sektor kerajaan,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Beliau menyambut baik kenyataan menteri berkenaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung perancangan kementerian itu untuk melantik ketua pengarah atau timbalan ketua pengarah JAKOA daripada kalangan Orang Asli yang dirasakan lebih memahami kehendak masyarakat itu.
Dalam pada itu, Omar turut menyuarakan pendapat bahawa cara untuk bergaul dengan masyarakat Orang Asli memerlukan pendekatan yang berbeza dengan sentiasa penjagaan pertuturan serta tingkah laku bagi mengelak berlaku salah faham.
“Berdasarkan pengalaman dan membesar bersama masyarakat Orang Asli ini, saya lihat mereka bukan menolak pembangunan tetapi kadang-kadang percakapan dan tindakan kita, yang kurang jelas maksud membuat mereka menjadi salah faham apa yang hendak disampaikan,” kata anak kelahiran Kampung Kuala Medang, Lipis, ini.
Omar berkata perkara itu perlu diberi perhatian sekiranya ingin berurusan dengan Orang Asli bagi mengelak perkara yang tidak diingini.
Katanya hormat menghormati adat, budaya dan bahasa juga penting supaya mereka senang untuk bercampur dengan masyarakat lain di negara ini. – BERNAMA