TAWAU – Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berharap Bajet 2016 yang akan dibentangkan Jumaat ini, bersifat mesra generasi muda.
Beliau berharap lebih banyak peluang disediakan bagi generasi muda terutamanya daripada segi pekerjaan dan pinjaman mudah untuk membeli rumah mampu milik atau keperluan lain.
“Selain itu kita harap Bajet 2016 turut memberi penekanan dalam pembinaan lebih banyak perumahan mampu milik untuk memastikan golongan belia dapat memiliki rumah mengikut kemampuan mereka,” katanya kepada pemberita selepas Program Budi-Petronas 2015 di sini hari ini.
Mengulas mengenai program itu, Tawfiq yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Apas berharap lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC), korporat, perladangan dan swasta tampil membantu khususnya berkaitan pendidikan melalui aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.
“Di sini kita lihat Petronas tampil menyampaikan bantuan kepada pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) terpilih. Ini satu usaha CSR yang amat dialu-alukan kerana mampu memberi kesan kepada pelajar kurang berkemampuan,” katanya.
Beliau berkata usaha Petronas itu adalah pelaburan yang dapat membantu membangun modal insan untuk mencapai kejayaan agar dapat kembali menabur bakti kepada masyarakat dan negara di masa depan.
Turut hadir, Pengurus Besar Kanan Petronas, Bacho Pilong dan 50 pelajar MRSM Tawau yang menerima sumbangan bantuan berkenaan. – BERNAMA

